Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

MALAYSIANSKINI |  Ili Nadiah Dzulfakar tidak akan pernah melupakan September 2019, ketika dia terlibat menganjurkan perhimpunan mengenai krisis iklim yang mengumpulkan lebih 1,000 hadirin.

Demonstrasi itu berlaku ketika jerebu sedang melanda, lima bulan sebelum kerajaan Pakatan Harapan runtuh dan wabak koronavirus menjadi tajuk utama berita di seluruh dunia.

Kumpulan Nadiah, Klima Action Malaysia (Kamy) ditubuhkan empat bulan sebelum demonstrasi itu tetapi kesan dan jangkauannya meningkat dengan cepat.

Projek ini bermula ketika dia melanjutkan pengajian sarjana muda dalam bidang sains alam sekitar di Universiti Nottingham di Semenyih pada 2019 dan setelah dia berbincang bersama rakan-rakannya.

"Ada banyak daya tarikan berhubung dengan demonstrasi isu krisis iklim di seluruh dunia. Daripada kemunculan kumpulan pendesak pimpinan anak muda seperti Sunrise Movement, pengaruhnya cepat berkembang di United Kingdom dan banyak negara di Eropah," jelasnya.

Ditubuhkan di Amerika Syarikat pada 2017, Sunrise Movement suatu kumpulan pendesak alam sekitar pimpinan anak muda melakukan tunjuk perasaan dan berinteraksi dengan calon parti politik untuk membuat mereka komited dalam reformasi alam sekitar.

"Saya melihat daya tarikan global dalam tindakan iklim selama 3-4 tahun terakhir ini.

"Saya percaya sekarang masanya atau tidak untuk memperkasakan komuniti rentan di Malaysia. Keadaan memerlukan tindak balas segera, (kerana) ketidakadilan iklim semakin teruk di Malaysia.

"Kami fikir mengapa tidak cuba menggerakkan agenda serupa di sini di Malaysia kerana kami tidak mahu kehilangan momentum itu," kata Nadiah kepada Malaysiakini.

Sejak itu, Kamy telah mengatur banyak aktiviti sehinggalah berlangsung perhimpunan besar pada tahun 2019, yang menurutnya berjaya menarik perhatian media.

"Anak muda khususnya perlu mengetahui lebih banyak mengenai ini (perubahan iklim) kerana mereka akan mewarisi negara ini," katanya yang kini berusia 33 tahun dan berasal dari Kajang, Selangor.

Ketika dia berbicara mengenai 'darurat iklim', ternyata keprihatinan Nadiah cukup mendalam.

"Perubahan iklim selalu berlaku selama berjuta-juta tahun.

"Tetapi apa yang kita lihat sekarang adalah antropogenik (akibat perbuatan manusia). 

Pelepasan gas berasaskan karbon telah menaikkan suhu bumi. Kegiatan manusia sangat memberi kesan terhadap planet ini.

"Apabila manusia menggondolkan hutan, sejumlah besar karbon dilepaskan ke atmosfera. Semakin banyak karbon dilepaskan, semakin panas planet kita," jelasnya.

Pemanasan global dan perubahan iklim, jelasnya meliputi tidak hanya kenaikan suhu purata bumi tetapi juga kejadian cuaca ekstrem termasuk rekod musim dingin, kebakaran hutan, banjir, kepupusan populasi dan habitat hidupan liar, ais mencair di kutub, paras laut meningkat, penipisan ozon dan berbagai dampak lain.

Jauh, lambat lagi

Walaupun terdapat banyak program kesedaran dan perhimpunan besar, namun ahli politik seakan tidak melihatnya sebagai isu penting.

Bagi Nadiah, misi untuk mendidik rakyat Malaysia dan ahli politik mengenai krisis iklim satu perjalanan panjang, berliku dan sukar.

Rancangan tahun lalu untuk menyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat (Utara) di Selangor membuktikan bagaimana ahli politik tidak mempertimbangkan faktor krisis iklim, katanya.

Untuk rekod, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) menjadi pemaju untuk cadangan projek pembangunan campuran di hutan simpan yang akan merangkumi 930.93 hektar atau 97.1 peratus dari hutan simpan paya itu.

Rancangan itu menimbulkan kemarahan penduduk kampung Orang Asli dan banyak NGO alam sekitar.

Nadiah menekankan soal pelepasan karbon dioksida sekiranya projek ini diteruskan.

"Pembangunan Hutan Simpan Kuala Langat (Utara) akan melepaskan 5.5 juta tan karbon dioksida ke atmosfera.

"Orang Asli tahu tentang hakikat ini. Kami tidak mahu melukai bumi dengan aktiviti seperti itu. Malaysia mempunyai banyak hutan yang unik, dan banyak bahagian itu telah hilang.

"Adakah kamu tahu apa kesan memusnahkan hutan? Kejadian cuaca ekstrem seperti banjir dan kemarau pada waktu lain.

"Dengan tidak memiliki hutan, apa yang akan kita lakukan ketika musim tengkujuh atau hujan lebat? Ke mana air itu akan mengalir," soalnya.

Masalah krisis iklim ini, kata Nadiah akan membawa rantaian keadaan termasuk mempengaruhi tanaman padi.

"Ini sangat membimbangkan. Kita membayar harga kerugian jutaan ringgit. Ia akan menjadi lebih buruk. Kami melihat corak perubahan cuaca setiap tahun. Banjir, jerebu, semua orang mengetahuinya, tetapi tidak ada apa yang dibuat.

"Keprihatinan saya, kita tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan iklim ketika hakikat alam itu melanda kita," katanya.

Ahli politik perlu bertanggungjawab

Ada nada kesal ketika Nadiah mengulas mengenai ahli politik yang menurutnya, patut memimpin perjuangan isu krisis iklim.

"Mereka (ahli politik) tidak memiliki kemahuan politik untuk berbahas mengenai krisis iklim di parlimen.

"Kami membelanjakan lebih banyak wang untuk cabang propaganda kerajaan Jasa daripada masa depan kami. Inilah jenis keutamaan yang dimiliki kerajaan. Ini membimbangkan," katanya.

Katanya, sejauh ini, Kamy dan NGO lain telah mendesak ahli politik dan pemimpin kerajaan untuk berperanan lebih aktif dalam meningkatkan kesedaran mengenai krisis iklim.

"Kami bercakap dengan jawatankuasa pilihan (khas parlimen), kami melakukan lobi kami sendiri, tetapi semuanya kembali kepada soal kehendak politik.

"Ramai yang kata mereka tidak dapat melakukan apa-apa sebelum mendapat izin daripada parti mereka.

"Mereka harus memikirkan tuan politik mereka tetapi ironinya, mereka boleh mengabaikan semua itu ketika mereka berpaling tadah daripada parti!

"Jadi tindakan mereka sangat bertentangan," katanya.

Sebilangan anak muda kini tertarik dengan gerakan parti politik Muda yang diterajui bekas menteri PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Ini walaupun terdapat cubaan memperlahankan pendaftaran Muda sebagai parti politik. 

Nadiah berkata dia terbuka untuk bekerja dengan kumpulan seperti itu.

"Meskipun kami gerakan alam sekitar, itu tidak bererti kami apolitik (tiada pendirian politik).

"Isu-isu alam sekitar menjadi kepentingan umum, justeru tindakan kami juga bersandarkan kesedaran politik.

"Kami akan terus kata negara ini cuma kekurangan kehendak politik, jadi mungkin sudah waktunya gerakan hijau beralih (meraih) kuasa politik seperti yang kita lihat di Jerman, New Zealand, di AS dan UK," katanya.

Gangguan, serangan siber

Dalam menentang projek-projek mega yang memusnahkan paru-paru hijau yang berharga, Nadiah berkata dirinya dan rakan-rakan lain terpaksa berhadapan dengan satu lagi kumpulan - laskar siber politik.

"Kami mendapat tindak balas apabila kami mengajukan pertanyaan, meminta pertanggungjawaban.

"Contohnya, jika kami membincangkan projek tertentu di Kelantan, pasukan siber berbayar datang menyerang kami.

“Mereka mengganggu kami dengan memanipulasi dan menyebarkan foto kami. Oleh itu, kami melaporkan serangan itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Tapi begitulah media sosial. Orang boleh serang anda tanpa menyatakan identiti," katanya.

Sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), Nadiah berkata kumpulannya Kamy giat menganjurkan aktiviti dalam talian seperti webinar dan bengkel.

Katanya, selepas wabak Covid-19 mereda, dia berharap dapat berkempen secara agresif untuk menjangkau orang-orang "di luar gelembung Twitter."

"Kami tidak boleh terus berdiam walaupun terdapat sekatan pergerakan, jadi kami mengubah aktiviti kami dalam talian.

"Malangnya, ketika kami bercakap, jentera mesin sedang bekerja keras di luar sana untuk memusnahkan hutan.

"Semuanya atas nama pembangunan," keluhnya.

[Baca laporan asal]


MALAYSIANSKINI ialah siri warga Malaysia yang patut anda kenali.


Klik untuk siri terdahulu di bawah:

Kisah seniman dan sepohon avokado

Shaq Koyok: Tiada khayalan, hanya Orang Asli dan cerita sebenar

Menanam harapan di Bangsar dan Bangladesh

Pereka cipta muda: Tak mudah capai kejayaan


Lihat Komen
ADS