mk-logo
Berita
Penganggur didakwa curi barang kes, ceroboh, bakar lori di balai polis
Diterbitkan:  Jan 26, 2021 8:11 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dan Sesyen di Petaling Jaya, hari ini atas tiga pertuduhan mencuri barang kes, menceroboh dan membakar sebuah lori di Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang, minggu lepas.

Muhammad Hazim Zawadod, 31, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah dan Hakim Faiz Dziyauddin.

Di Mahkamah Majistret, Muhammad Hazim didakwa atas dua pertuduhan iaitu mencuri barang-barang kes yang telah didaftarkan membabitkan tiga karton rokok pelbagai jenama, dua kotak besar rokok dan tembakau milik Inspektor Husin Abd Aziz serta melakukan pencerobohan jenayah di Kawasan Tempat Simpanan Barang Kes, IPD Serdang, dekat Petaling Jaya pada 5.30 petang dan 10.19 malam, 18 Jan lepas.

Bagi kesalahan mencuri, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya manakala kesalahan menceroboh, dia dituduh mengikut Seksyen 447 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Atifah Hazimah Wahab menawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan, namun peguam Chui Jing Hong yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum.

Zhafran Rahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Di Mahkamah Sesyen, Muhammad Hazim didakwa melakukan khianat dengan niat hendak membinasakan kawasan tempat penyimpanan milik IPD itu dengan membakar tiga buah lori yang mengandungi pelbagai jenis rokok, enam kereta dan 13 motosikal pada tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

TPR Shanur Farrahin Shapri tidak menawarkan sebarang jaminan namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 2 April untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS