Wanita Umno saran kerajaan kaji kesihatan mental orang ramai
Kerajaan wajar melihat tahap kesihatan mental orang ramai ketika semua pihak berdepan dengan ancaman Covid-19, kata Wanita Umno hari ini.
Ketuanya Noraini Ahmad berkata dalam keadaan sekarang sedikit sebanyak kesihatan mental orang ramai memang terjejas.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula kata Noraini menunjukkan kes penderaan kanak-kanak yang melibatkan ibu bapa mencatatkan peningkatan sehingga 20 peratus sewaktu tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula sejak Mac tahun lalu.
"Kes-kes yang berlaku seperti ini menunjukkan tahap mental orang ramai semakin terganggu sehingga sanggup melakukan tindakan yang tidak sepatutnya terhadap kanak-kanak," katanya dalam kenyataan.
Menteri Pengajian Tinggi itu berkata demikian sebagai mengulas kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun yang disyaki menjadi mangsa dera di Melaka pada 29 Jan lalu.
Ibu kandung dan bapa tiri mangsa kini ditahan reman bagi membantu siasatan polis.
Noraini berkata sepatutnya keluarga adalah tempat untuk seseorang berlindung daripada kejadian tidak diingini. Justeru katanya pihak yang bertanggungjawab atas kematian kanak-kanak berkenaan mesti didakwa.
"Marilah kita bersama-sama mengembleng tenaga agar perkara seperti ini dapat diatasi," katanya.

