Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kenapa darurat Malaysia tak sama dengan darurat Myanmar

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) mengecam tindakan rampasan kuasa di Myanmar oleh pihak tentera, kerana menidakkan suara rakyat dan mengumumkan darurat selama setahun di negara itu selepas pemimpin kerajaan ditahan.

Tindakan coup d’etat atau kudeta oleh pihak tentera tersebut jelas merupakan satu tindakan yang ke belakang dan meruntuhkan sistem demokrasi di negara itu.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) turut mengecam sindiran Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution yang mempersoalkan ironi Malaysia menyatakan "kebimbangan serius" negara mengenai penggantungan parlimen dan demokrasi di Myanmar di sebalik pengisytiharan darurat di negara kita pada tiga minggu lepas.

Mungkin setiausaha agung PKR tersebut terlepas pandang beberapa perkara dek sibuk mencari jalan untuk meletakkan presiden partinya menjadi perdana menteri Malaysia.

Pertama, pengisytiharan darurat di negara kita bertujuan untuk mengekang wabak Covid-19 dengan mengelakkan berlakunya sebarang pilihan raya kecil atau pilihan raya umum pada waktu pandemik yang diunjurkan bakal melebihi 5,000 kes harian pada waktu itu.

Faktanya hari ini, negara telah melihat unjuran menjadi kenyataan apabila 5000 kes harian dicatatkan selama tiga hari berturut-turut.

Kedua, pengisytiharan darurat di negara kita tidak bermotifkan politik apabila tiada seorang pun pemimpin pembangkang yang ditahan. Ini berbeza dengan darurat di Myanmar apabila Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi, Presiden U Win Myint dan pemimpin politik kanan yang lain ditahan pihak tentera.

Pemimpin pembangkang di Malaysia tidak ditangkap, ditekan atau dikenakan sebarang tindakan.

Ketiga, pengisytiharan darurat di negara kita bertujuan untuk menfokuskan kepada penyelesaian Covid-19 agar semua pihak, termasuklah di barisan hadapan, tidak terjerumus dengan mainan politik pembangkang yang setiap minggu bercakap mengenai pertukaran perdana menteri tanpa bukti kukuh.

Sehingga hari ini, sokongan “strong, formidable and convincing” dari ahli parlimen masih cakap-cakap kosong.

Semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing agar kita semua dapat keluar daripada pandemik ini dengan cepat.

Jika barisan hadapan dinasihatkan menjalankan tugas sebagai barisan hadapan, maka ahli politik dan pihak pentadbiran kerajaan juga perlu menjalankan tugas mereka dengan berkesan.

Tiada siapa yang mahu PKP dilaksanakan untuk berbulan-bulan kerana ia bakal meranapkan ekonomi negara. Pada masa yang sama, PKP yang dilaksanakan sekarang perlu diperketatkan agar kita dapat melihat penurunan kes hasil PKP yang efektif. Bersama-sama kita berdoa agar negara kita pulih daripada wabak Covid-19 ini.

Malaysia sejahtera!


SHAHIR ADNAN ialah ketua DPIM Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap timbalan pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS