Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kudeta tentera: Kedutaan nasihat rakyat Malaysia di Myanmar bertenang

Lebih 600 rakyat Malaysia berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Yangon, Myanmar dan kebanyakan terdiri ahli perniagaan, pekerja profesional serta anggota keluarga mereka.

Kedutaan menasihati semua rakyat Malaysia di Myanmar supaya bertenang, berwaspada dan terus mematuhi nasihat keselamatan pihak berkuasa tempatan di negara itu.

“Sejak pagi tadi (semalam) sebilangan rakyat Malaysia menghubungi kedutaan untuk mendapatkan nasihat mengenai situasi keselamatan di Myanmar dan kedutaan telah mengambil tindakan sewajarnya,” kata kedutaan dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Keadaan di Yangon, Myanmar tenang setakat ini, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon ditutup untuk operasi antarabangsa dan domestik sehingga diberitahu kelak.

"Kedutaan masih mengumpulkan maklumat mengenai kawasan lain di negara ini," kata kedutaan.

Media antarabangsa melaporkan tentera telah melancarkan kudeta di Myanmar dan mengisytiharkan darurat selama setahun, diikuti dengan penahanan pemimpin politik serta pegawai kanan kerajaan lain atas dakwaan penyelewengan undi dalam pilihan raya negara itu pada November 2020.

Dalam kenyataan sama kedutaan berkata perkhidmatan internet mudah alih turut terjejas sejak 5.30 pagi semalam tetapi kembali pulih pada tengah hari, manakala sektor perbankan menghentikan operasi berikutan aktiviti Internet yang terhad.

“Bagaimanapun, pada tengah hari, orang ramai dilihat beratur di Mesin Juruwang Automatik (ATM),” tambah kenyataan itu.

Untuk bantuan kedutaan dan masalah kecemasan, Kedutaan Besar Malaysia di Yangon boleh dihubungi di talian +95 9 772 220 230 atau e-mel [email protected].

- Bernama

Lihat Komen
ADS