Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anwar gesa kerajaan dedahkan perincian kontrak vaksin

Presiden PKR, Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap kedudukan Malaysia yang turun enam anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020, berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, darurat membolehkan perdana menteri meluluskan undang-undang tanpa melalui parlimen, malah kontrak perolehan kerajaan yang besar dapat diberikan melalui tender rundingan terus.

Merujuk kepada pembelian vaksin Covid-19, Anwar mendesak kerajaan mengumumkan perincian berkaitan kontrak berkaitan.

“Bukan sekadar mengumumkan 27 Feb (vaksin) akan sampai, (tetapi juga) untuk siapa, berapa jumlahnya, berapa kosnya, kontrak dan tender itu diperoleh oleh siapa?

"Kerana masalah sekarang ini ialah dengan pakai payung darurat ini, masing-masing buat keputusan tanpa tender (terbuka).

“Dan ini membimbangkan kerana ini terkait dengan isu pengurusan kerajaan yang baik, tatakelola yang baik,” katanya.

Transparency International Malaysia (TI-M) sebelum ini mendedahkan kedudukan negara dalam indeks persepsi rasuah (CPI) antarabangsa merosot pada 2020 berbanding 2019.

Presiden TI-M Muhammad Mohan berkata kemerosotan itu berlaku walaupunm dua tahun sebelumnya kedudukan Malaysia meningkat ke kedudukan lebih baik kesan agenda reformasi institusi di bawah pentadbiran PH.

Antara faktor yang menyebabkan kemerosotan itu kata TI-M ialah reformasi institusi yang tergendala, termasuk janji untuk membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang tidak tertunai.

Selain itu, pengguguran kes dan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) untuk beberapa kes rasuah berprofil tinggi tahun lalu turut menyebabkan kemerosotan.

Anwar berkata dia kesal dengan kemerosotan tersebut.

"Itu (CPI) merosot. Ada kerajaan baru patut perbaiki, rupa-rupanya dengan kerajaan yang ada ini indeks yang kita berjaya turunkan dari tangga 51 sekarang tangga 57 daripada negara yang dikaji.

"Sebab? Tentunya sebab pengurusan, ketelusan tidak ada, pertanggungjawabannya tidak ada, semuanya nak rebut kontrak dan semua jabatan baru politik tidak difikirkan faedah dan masalah rakyat.

"Sebab itu, saya dalam isu Covid-19 ini tak boleh lari daripada isu pengurusan kerajaan. Ada orang kata ini urusan kerajaan lain tetapi ini urusan Covid-19 kita harus bersama," katanya.

Kata Anwar, dia juga turut mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh menetapkan permasalahan Covid-19 tanpa isu pengurusan kerajaan dan tatakelola yang baik.

"Nak beli ubat, nak bayar barisan hadapan dan juga nak tentukan peruntukan, apakah peruntukan itu untuk jawatan politik yang mencecah ratusan juta ringgit atau pun untuk dewan-dewan yang gagah perkasa dalam keadaan orang kelaparan dan tak cukup makan dan katil-katil di hospital dan sesak, tak cukup dan banyak pesakit yang diminta tunggu dulu di rumah?

"Jadi, oleh yang demikian saya katakan Covid-19 ini memang ada kaitan cara langsung dengan isu tatakelola," tambahnya.

Lihat Komen
ADS