Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sasaran 100 juta pokok: Kelantan catat 11,000 pokok

Kelantan merekodkan lebih 11,280 penanaman pokok iaitu terbanyak di negara ini sejak Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dilancarkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada 5 Jan lepas.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata jumlah itu dikesan melalui rekod pendaftaran yang dihantar oleh orang ramai sama ada melalui syarikat atau secara individu ke aplikasi peranti mudah alih Program Penghijauan Malaysia.

Beliau berkata setakat ini kempen tersebut mendapat maklum balas yang baik daripada penduduk di negeri ini dan percaya jumlahnya akan meningkat selepas ini.

"Tahun lepas Kelantan berjaya melakukan penanaman sebanyak 2.4 juta pokok dan sasaran tahun ini adalah sebanyak tiga juta pokok.

“Dengan adanya kempen seumpama ini kami yakin lebih ramai masyarakat akan mengambil peluang melakukan penanaman pokok apatah lagi dengan adanya ganjaran daripada kerajaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kempen lima tahun (2021-2025) yang menyasarkan penanaman 20 juta pokok setahun di seluruh negara itu juga terbuka kepada sekolah, universiti, agensi, organisasi atau syarikat yang berminat untuk terlibat dalam penanaman pokok, penajaan dan menjalankan aktiviti penanaman.

Abdul Khalim berkata mereka yang berminat boleh mendaftar akaun individu dengan mengisi maklumat peribadi bagi mewakili agensi dan pastikan pendaftaran menggunakan e-mel rasmi agensi masing-masing.

Katanya, untuk tujuan itu mereka perlu mengaktifkan akaun melalui pautan yang dihantar melalui e-mel dan e-melkan kepada [email protected] bersama dokumen seperti surat rasmi atau sijil pendaftaran SSM atau berkaitan bagi tujuan semakan.

Beliau berkata bagi Kelantan sasaran untuk penanaman tiga juta pokok tidak menjadi masalah kerana mempunyai banyak kawasan malahan 52 peratus Kelantan masih dilitupi kawasan hutan.

Katanya untuk kempen ini Kelantan sudah menerima peruntukan sebanyak RM840,000 sebagai sokongan daripada pihak ibu pejabat termasuk bagi menaik taraf tapak semaian satelit di negeri ini dan mampu menyimpan sebanyak sejuta pokok.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS