Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasar malam, gunting rambut, cuci kereta dibenarkan mulai esok
Diterbitkan:  Feb 4, 2021 5:33 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, operasi pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat mencuci kereta adalah dibenarkan mulai esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah dinilai dari segi risiko dan jumlah kluster dihasilkan setiap aktiviti perniagaan tersebut tetapi semua operasi berkenaan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

“Setelah berbincang dan melihat tiada kluster baharu oleh ketiga-tiga aktiviti perniagaan ini, maka mesyuarat setuju untuk luluskan (beroperasi semula),” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Dia yang juga menteri pertahanan berkata pasar malam dibenar beroperasi mulai jam 4 petang hingga 10 malam dengan memastikan jarak satu meter antara setiap gerai, laluan keluar masuk yang berbeza, dan ada pengawasan oleh Rela untuk memantau pergerakan pengunjung.

"Untuk kedai gunting rambut, dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam dan hanya khidmat gunting rambut dibenarkan.

"Petugas mesti mematuhi SOP ketat iaitu memakai pelindung muka, pelitup muka, apron pakai buang, sarung tangan dan alat mesti dibersihkan menggunakan air panas setiap kali selesai untuk setiap pelanggan," katanya. 

Walau bagaimanapun, katanya, rawatan muka dan khidmat kecantikan lain tidak dibenarkan.

“Begitu juga dengan gunting dan sikat mesti dicuci dengan air panas sebelum digunakan untuk pelanggan baru. Pusat cuci kereta juga dibenar beroperasi sehingga 10 malam,” katanya.

Ismail Sabri turut memberi bayangan lebih banyak aktiviti termasuk sukan dan rekreasi seperti gim dan kejohanan sukan berimpak tinggi, selain sektor peruncitan akan diberi kelonggaran namun ia tertakluk kepada penilaian risiko dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini, katanya selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masing-masing mengemukakan cadangan kepada mesyuarat khas hari ini.

“Kami teliti setiap perkara dibentangkan sama ada KPDNHEP dan KBS. Kami akan kaji dan setiap kajian kami pastinya akan dapat pandangan daripada KKM dan mereka akan buat penilaian risiko dan berdasarkan kluster baharu yang wujud daripada setiap aktiviti yang dicadangkan.

“Sekiranya KKM berpandangan risiko tidak tinggi dan daripada data tidak tunjukkan kluster-kluster baharu dihasilkan maka ada kemungkinan kami akan luluskan,” katanya.

Lihat Komen
ADS