Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi menggesa penubuhan sebuah Suruhanjaya Di Raja (RCI) bagi mencari kebenaran berhubung buku memoir bekas Peguam Negara Tommy Thomas

Bekas ahli Parlimen Batu Pahat itu, berkata pendedahan penting demi memelihara imej keadilan, perundangan dan integriti badan kehakiman.

"Tommy Thomas mendedahkan, Tun M (Dr Mahathir Mohamad) bersetuju melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak atas recommendation beliau.

"Pengakuan tersebut mendedahkan hakim-hakim kepada spekulasi bahawa mereka mungkin berat sebelah dalam segala kes yang melibatkan pendakwa raya.

"RCI penting demi memelihara imej keadilan, perundangan dan integriti Hakim yang jelas tercemar berdasarkan pendedahan Tommy Thomas itu," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Peguam Negara Idrus Harun menyifatkan memoir yang ditulis bekas peguam negara itu, jelas merupakan penghinaan terhadap institusi perundangan di negara ini.

"Kandungan buku ini telah memberikan impak yang negatif khususnya daripada kaca mata orang luar, dan ia secara langsung telah memberikan kesan kepada moral dan semangat pegawai undang-undang.

"Selain itu, pada hemat saya, ia merupakan satu penghinaan yang ketara kepada institusi perundangan kita, yang amat kita hormati dan sanjungi," tulisnya dalam satu surat yang dihantar kepada pegawai undang-undang dalam Jabatan Peguam negara.

Idrus berkata selama bertugas selama hampir 35 tahun dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan dan akhirnya sebagai peguam negara, dia tiada keraguan mengenai kemampuan pegawai undang-undang dalam menjalankan tugas mereka.

Hari ini, polis mula menjalankan siasatan berhubung My Story: Justice In The Wilderness dengan mengambil keterangan penerbit memoir yang ditulis bekas peguam negara itu.

Siasatan berkenaan dijalankan selepas pihak berkuasa menerima banyak aduan mengenainya, selain pelbagai kritikan disuarakan pihak tertentu termasuk individu yang dinyatakan dalam buku berkenaan.

Sementara itu, Mohd Puad berkata pendedahaan dalam buku tersebut membuktikan Tommy jenis "syok sendiri" berdasarkan kritikan peguam negara.

"Menurut Idrus lagi buku memoir itu dihasilkan oleh 'pemikiran yang dangkal daripada pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami institusi perkhidmatan awam'.

"Memang Tun M salah pilih orang. Tommy syok sendiri dan 'show off'. Kalau ikut memoir tersebut perlantikan 'hakim hakim atasan' telah mengenepikan peranan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC)," katanya lagi.