Laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendedahkan, kadar pengangguran di kalangan penduduk bandar berpendapatan rendah meningkat dua kali ganda di Lembah Klang, dari September hingga Disember tahun lalu.

Berdasarkan hasil tinjauan terhadap 500 isi rumah di flat kos rendah di Kuala Lumpur, kadar pengangguran didapati meningkat daripada 7 peratus pada September kepada 15 peratus (Disember).

Satu daripada tiga orang dewasa isi rumah tersebut dikatakan tiada pekerjaan.

Laporan bertajuk Families On The Edge turut mendedahkan tahap pendapatan isi rumah ketua wanita dan ketua orang kurang upaya (OKU) kini masing-masing pada tangga 24 peratus dan 36 peratus lebih rendah berbanding akhir tahun 2019.

“Angka kemiskinan di antara sampel kajian adalah 42 peratus pada bulan Disember, dengan kadar lebih tinggi di kalangan isi rumah yang diketuai OKU (55%), dan isi rumah diketuai wanita (61%),” katanya.

Wakil Unicef di Malaysia, Rashed Mustafa Sarwar berkata, ketika beberapa keluarga mulai pulih, yang lain terus merosot ketika peringkat awal pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0) sehingga mencapai tahap genting.

Jelasnya, pelindungan sosial bagi kelompok paling rentan di Malaysia perlu dilaksanakan, termasuk meluaskan sokongan kewangan bagi keluarga berpendapatan rendah, penyediaan sokongan mata pencarian bagi individu tersasar, khususnya yang bekerja sendiri.

Laporan terbabit juga mendedahkan, 63 peratus isi rumah kini mengalami kesukaran membeli barang keperluan asas dan harian meskipun terdapat bantuan kewangan kerajaan dan zakat.

Sementara itu, Wakil Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dari Malaysia, Najib Assifi, menambah, keadaan sosial keluarga berpendapatan rendah terus berubah susulan ekonomi yang semakin memburuk.

“Dengan peningkatan sikap pesimis yang memburukkan lagi kesihatan mental, ia akan mula membentuk persekitaran hidup kurang sihat, secara fizikal dan psikologi.

“Tiada yang lebih terkesan daripada kanak-kanak, mereka yang mempunyai penyakit kronik, yang kurang upaya dan mereka yang menghargai mereka,” tambahnya.