Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kartel daging: Syarikat, 2 individu dihadapkan 21 pertuduhan

Sebuah syarikat makanan sejuk beku dan dua individu didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu berkaitan kartel daging, Disember tahun lepas.

Tertuduh, syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, pengurus syarikat itu Chong Kim Kuang, 48, dan pengarahnya Yong Chee Keong, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan, yang dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kertas pertuduhan, dua tertuduh bersama syarikat serta seorang lagi pengarah yang masih bebas, Tan Siew Huak, 42, didakwa menggunakan suatu perihal dagangan palsu iaitu berkaitan logo halal Islamic Co-ordinating Council of Victoria dan Perth Mosque Incorporated dari Australia ke atas sejumlah 3,418 unit kotak makanan sejuk beku.

Kesemua mereka juga didakwa menawarkan barangan berkenaan atas label GBP Australia Pty Ltd dan Ararat Meat Exports Pty Ltd yang menggunakan logo halal Australia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan oleh orang Islam dengan cara yang bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Selain itu, mereka turut didakwa atas kesalahan memiliki barangan berkenaan yang menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan GBP Australia Pty Ltd dan Ararat Meat Exports Pty Ltd.

Semua kesalahan terbabit dilakukan di sebuah premis beralamat No. 663 Jalan Idaman ¾ Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, dalam daerah Kulai kira-kira 3.30 petang pada 1 Dis 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Jika sabit kesalahan, kesemuanya boleh didenda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Onn Abd Aziz, Kwan Li Sa, Syazwani Zawawi, T Ashivinii dan Kee Shu Min manakala tertuduh diwakili barisan peguam Zamri Idrus, Yusman Che Aman dan Saiful Zaman Abd. Rahman.

Mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap dua minggu sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

Mahkamah juga menetapkan 28 Mac ini sebagai sebutan semula kes.

Ini merupakan pendakwaan pertama melibatkan kes kartel daging selepas ia dibongkar pada 1 Dis.

-Bernama

Lihat Komen
ADS