Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah naikkan nilai ganti rugi pada Husam
Diterbitkan:  Feb 10, 2021 1:08 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengetepikan taksiran ganti rugi RM50,000 untuk kes saman fitnah Husam Musa terhadap bekas pengetua sekolah agama di Kelantan, Masri Che Yusoff, dan menetapkan nilai lebih tinggi.

Peguam Husam, Faiz Fadzil berkata mahkamah menetapkan nilai ganti rugi baru sebanyak RM150,000, dengan kos RM5,000.

Dalam hantaran Facebook, Faiz memaklumkan perkara itu diputuskan dalam prosiding dalam talian pagi tadi.

“Alhamdulillah, rayuan untuk taksiran ganti rugi berjumlah RM50,000 telah diketepikan dengan award (global damages) sebanyak RM150,000 dan kos sebanyak RM5,000.

The truth will prevail and never surrender! (Kebenaran akan terserlah dan jangan mengaku kalah!)”, tulisnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi, Faiz memberitahu, taksiran ganti rugi itu ditetapkan timbalan pendaftar sebanyak RM50,000 pada November 2019, namun pihaknya membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Ini setelah pada 2018, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan saman dan tuntutan Husam terhadap Masri susulan tulisan berunsur fitnah di Facebook, dengan kos RM10,000, manakala jumlah ganti rugi pula akan ditaksirkan oleh mahkamah kemudian.

“Awalnya timbalan pendaftar bagi RM50,000, tetapi selepas itu kita rayu. Hari ini rayu kepada hakim mahkamah, (dan ditetapkan) diketepikan dan naik ke RM150,000 (dan kos RM5,000).

“Liabiliti (RM10,000 yang ditetapkan pada 2018) itu kekal,” katanya kepada Malaysiakini.

Prosiding dalam talian pagi tadi dilakukan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Saman Husam terhadap Masri membabitkan hantaran pada 27 Okt 2015 yang menyiarkan gambar dan tulisan menuduh Husam secara salah memberikan kepada sebuah syarikat tanah seluas 414.37 hektar, semasa menjadi exco kerajaan Kelantan.

Mahkamah pada 2018, menolak keterangan Masri yang ketika itu ahli jawatan kuasa PAS Kawasan Ketereh dan anggota Dewan Ulama PAS Kelantan, serta memutuskan bahawa semua tuduhan itu tidak berasas.

Menurut Faiz, pengurusan kes untuk rayuan oleh Masri dalam kes itu, dijadualkan berlangsung 9 Mac depan.

Lihat Komen
ADS