Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Memancing rekreasi, sekolah memandu dibenarkan
Diterbitkan:  Feb 11, 2021 7:13 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Kerajaan membenarkan beberapa lagi aktiviti dibuka dalam perintah kawalan pergerakan (PKP), seperti aktiviti memancing rekreasi serta operasi institut memandu, bermula esok.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, kebenaran itu diberikan setelah penilaian risiko dibuat bersama agensi yang terlibat dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, tertakluk kepada prosedur operasi piawai (SOP) yang ketat.

Kata Ismail, bagi aktiviti memancing rekreasi, kerajaan menerima rayuan daripada pengusaha kolam pancing, bot rumah dan bot atau kapal memancing yang hilang mata pencarian kerana tidak dibenarkan beroperasi sebelum ini.

Antara SOP yang digariskan ialah kolam pancing yang ingin beroperasi harus berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT dan Jabatan Perikatan Malaysia, manakala rumah rakit dan kelong pula perlu berdaftar dengan PBT.

Masa operasi kolam pancing, kelong dan rumah rakit dibenarkan dari jam 8 pagi ke 10 malam dengan memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua meter.

Manakala bagi bot rumah serta sampan, bot, atau kapal memancing pula, kapasiti pemancing adalah 50 peratus daripada kapasiti asal, termasuk jurumudi.

Ini selain SOP lazim yang harus dipatuhi seperti pendaftaran pelanggan melalui MySejahtera, penyediaan pensanitasi tangan atau sabun, serta pemeriksaan suhu.

Bagaimanapun, tiada pertandingan atau pesta memancing dibenarkan.

Bagi institut memandu pula, waktu operasi yang dibenarkan adalah dari jam 7.30 pagi hingga 8.30 malam, merangkumi perkhidmatan latihan pemanduan, Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) 01, 02 dan 03, perkhidmatan praujian pemanduan (QTI), perkhidmatan ujian teori dan praktikal (litar dan jalan raya).

Institut harus memastikan calon yang terlibat dalam satu-satu slot latihan atau ujian sahaja dibenarkan berada di premis pada satu-satu masa, manakala menunggu adalah tidak dibenarkan.

Antara SOP lain ialah pemakaian pelitup muka sepanjang masa di dalam kenderaan serta penjarakan fizikal satu meter.

Lihat Komen
ADS