Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ: Ini soal ekonomi, bukan agenda illuminati
Diterbitkan:  Feb 14, 2021 5:11 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan program imunisasi vaksin Covid-19 adalah demi kebangkitan ekonomi negara dan tidak mempunyai kaitan dengan teori konspirasi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, vaksin yang dihasilkan oleh kajian Sains bukan agenda illuminati yang mahu 'menubuhkan New World Order'.

"Tiada bukti vaksin ini memudaratkan nyawa atau kesihatan mereka. Vaksin ini tidak akan mengubah DNA penerima. Vaksin ini tidak mengandungi microcip untuk mengambil alih pemikiran kita.

"Vaksin ini bukan agenda illuminati yang mahu menubuhkan New World Order. Vaksin ini dihasilkan oleh sains. Kita mesti yakin dengan sains dan bukannya teori konspirasi yang tular dalam group Whatsapp keluarga atau taman perumahan yang memetik sumber palsu. Sains mesti menang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Khairy, sehingga Disember tahun lalu, jumlah individu menganggur di Malaysia meningkat kepada 773,000 orang atau bersamaan 4.8 peratus susulan banyak perniagaan sama ada gulung tikar atau perlu mengurangkan jumlah pekerja mereka.

Manakala bagi negara pula, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan penguncupan saiz ekonomi negara sebanyak 5.6 peratus bagi tahun 2020, walaupun angka ini lebih baik daripada ramalan yang dibuat oleh badan antarabangsa seperti International Monetary Fund (IMF) dan Bank Dunia.

Jelasnya, sehingga kini, lebih 107 juta kes Covid-19 dicatatkan di seluruh dunia dengan hampir 2.4 juta kematian. Bagi Malaysia pula, seramai 255,000 orang telah dijangkiti serta meragut lebih 930 nyawa.

Namun, katanya, salah satu faktor yang akan menentukan sama ada pemulihan ini dapat dicapai bergantung kepada Pelan Imunisasi Covid-19 Nasional.

"Sebagai contohnya, apabila sempadan negara kembali dibuka, sektor yang terjejas teruk seperti penerbangan dan pelancongan akan dapat beroperasi semula.

"Begitu juga kilang-kilang yang dapat beroperasi tanpa risiko perlu ditutup akibat jangkitan sesama pekerja.

 "Rantaian ekonomi berterusan akan membolehkan kitaran ekonomi berjalan lancar yang akan membawa kebaikan bukan sahaja kepada negara malah kepada kehidupan seharian rakyat," katanya lagi.

Oleh itu, Khairy berkata amat penting bagi sebanyak mungkin individu menerima suntikan vaksin untuk menurunkan jangkitan.

'Perlu yakin dengan Sains'

"Bila kita yakin dengan Sains, kita akan yakin dengan vaksin Covid-19. Bila kita yakin, seramai mungkin akan menerima suntikan mereka.

"Bila ramai menerima suntikan vaksin ini, bilangan jangkitan akan mula menurun.

"Bilangan kematian dan pesakit yang dimasukkan ke ICU akan mula menurun. Bila jangkitan menurun, lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial boleh dijalankan tanpa sekatan yang terlalu ketat.

"Inilah kaitan langsung program imunisasi yang berjaya kepada pemulihan ekonomi. Ia sangat berkait rapat," katanya lagi.

Justeru, kata Khairy sebarang gangguan dalam program imunisasi serta keadaan pandemik Covid-19 yang berterusan akan membawa negara ke arah ketidaktentuan ekonomi dan akan memaksa kawalan pergerakan seperti ketika ini diteruskan.

Kumpulan pertama vaksin Covid-19 dari Pfizer-Biontech dijadualkan tiba pada akhir bulan ini, diikuti oleh Sinovac China.

Malaysia juga turut menempah vaksin untuk AstraZeneca UK, Sputnik V Rusia dan CanSino China.

Lihat Komen
ADS