Malaysiakini
BERITA

Potong 3 bulan gaji Adun beli peranti bantu pelajar, gesa ahli PSB

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Feb 2021, 6:02 pagi

Ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi mencadangkan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (Adun) dipotong tiga bulan untuk disalurkan bagi pembelian peranti elektronik kepada pelajar sekolah yang kini sedang mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau berkata Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu lebih prihatin kepada nasib pelajar di Sarawak daripada golongan miskin bandar dan miskin luar bandar yang kini amat memerlukan peranti elektronik bagi tujuan PdPR.

“Kita tidak mahu anak-anak ini ketinggalan dalam pelajaran mereka hanya kerana tidak mampu membeli peranti elektronik sekali gus ia akan merugikan dan mereka akan ketinggalan dari segi pelajaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Aditajaya (gambar, atas) yang juga Pengerusi PSB Tanjung Manis berkata GPS seharusnya mengambil berat masalah pelajar ketika ini dengan memberi peranti elektronik kepada semua pelajar di Sarawak secara percuma dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri.

“Dalam pengumuman Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 oleh Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) tempoh hari, tiada satu pun yang dikhususkan untuk pembelian peranti elektronik bagi pelajar sekolah di Sarawak.

“Terdapat hampir 1,000 permohonan dari seluruh Sarawak bukan hanya di Parlimen Tanjong Manis dan ada juga yang memohon terus kepada saya,” katanya.

Beliau berkata cadangannya itu bukannya untuk mencari salah sesiapa tetapi untuk sama-sama membantu pelajar di Sarawak dalam menjalani pelajaran mereka dengan lebih baik dan teratur.

Bermula minggu lalu, Pusat Khidmat Rakyat PSB Tanjong Manis sudah mula mengagihkan bantuan peranti elektronik kepada pelajar yang memerlukan iaitu 100 unit tablet disediakan untuk pelajar Tingkatan Enam, 200 telefon pintar untuk pelajar Tingkatan Satu hingga Lima dan 50 komputer riba untuk pelajar universiti.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.