Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sistem kesihatan perlu dipersiap kemungkinan pandemik hingga 2024'
Diterbitkan:  Feb 15, 2021 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Mengambil kira pandangan pakar perubatan yang menjangkakan kemungkinan pandemik berlanjutan sehingga 2024, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan meminta supaya kerajaan memperkukuh sistem kesihatan negara bagi menghadapi senario itu.

Kata Mohamad, ini kerana, menurut pakar, meskipun vaksinasi sudah bermula, masih ada negara membangun dan kurang tidak mendapat bekalan vaksin.

Justeru, Mohamad mencadangkan supaya penjawatan baru perlu segera diwujudkan serta petugas kesihatan kontrak dan sambilan sedia ada ditawarkan jawatan tetap dengan kadar segera.

“Malaysia mesti mengambil pendekatan kesiapsiagaan terhadap senario ini.

“Sektor perkhidmatan kesihatan kita mesti diperkasakan dengan berganda dan tanpa berlengah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia berkata sepanjang negara berdepan dengan pandemik Covid-19, petugas kesihatan yang berada dalam kategori kontrak dan sambilan terus bekerja tanpa mengira waktu meskipun tanpa diberikan jaminan pekerjaan tetap.

“Mereka telah berkhidmat di waktu yang sangat sukar dan pengalaman mereka sebagai petugas hadapan sangat berharga untuk memperkuatkan sistem kesihatan awam kita.

“Petugas ini telah melaksanakan tugas patriotik mereka kepada negara dengan keringat dan pengorbanan tertinggi, walaupun tanpa jaminan pekerjaan tetap.

“Justeru menyerapkan mereka ke perjawatan tetap adalah sangat bertepatan dengan kompetensi, jasa dan sumbangan mereka,” katanya.

Sementara itu katanya, bagi sukarelawan yang terdiri daripada pesara dan pelbagai segmen masyarakat yang lain pula perlu terus dilatih, serta berada dalam pangkalan data Kementerian Kesihatan agar mereka dapat dimobilisasikan dengan kadar segera di waktu kritikal.

Menurutnya, kerajaan mesti menyegerakan proses untuk memperkuatkan sistem kesihatan sedia ada dengan menambah dan mengisi segala keperluan perjawatan, membawa bakat terbaik menyertai KKM, latihan berterusan bagi membangun kompetensi petugas kesihatan dan menyediakan kemudahan kesihatan komprehensif yang lebih banyak.

“Kerajaan mesti menyegerakan semua ini demi Malaysia yang lebih siapsiaga, selamat dan sejahtera,” katanya. 

Lihat Komen
ADS