Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes positif babitkan kluster calon SPM di Kelantan meningkat

Kes positif Covid-19 bagi kluster Pangkal Changgong yang turut melibatkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebuah sekolah agama di Machang, Kelantan, kini disahkan meningkat kepada 64 orang.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata seramai 259 individu termasuk kakitangan, ibu bapa dan pelajar sekolah tersebut sudah menjalani ujian saringan.

"Sehingga hari ini seramai 64 orang (termasuk kakitangan dan ibu bapa) disahkan positif daripada kluster Pangkal Changgong.

"Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Jabatan Pendidikan Kelantan sudah berbincang dan ada tindakan-tindakan akan diambil (bagi pelajar mengambil peperiksaan)," katanya kepada media selepas mesyuarat khas Jawatakuasa Kerja Keselamatan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan seramai 41 pelajar yang juga calon SPM disahkan positif Covid-19 yang disenaraikan melalui kluster Pangkal Changgong. 

Sementara itu Izani berkata, calon SPM yang positif itu akan dibenarkan mengambil peperiksaan secara berasingan dengan calon-calon lain.

"Majoriti pelajar tersebut tiada simptom dan boleh dikatakan mereka berada dalam keadaan sihat.

"Akan ada tiga kategori iaitu calon (SPM) yang biasa, yang terdedah (kontak rapat Covid-19) dan yang mempunyai simpton (positif).

"Insya-Allah pihak sekolah akan sediakan tempat-tempat untuk peperiksaan," katanya.

Izani berkata, jangkitan di sekolah berkenaan berpunca daripada komuniti yang mungkin ada antara mereka berhubung rapat dengan individu positif Covid-19 sebelum pelajar terbabit dibenarkan masuk ke asrama.

"Bagaimanapun, kita tidak perlu bimbang kerana wabak ini terkawal dan pelajar berada dalam satu asrama yang juga tempat tertutup.

"Selain itu mereka juga sudah dikuarantin sejak dibenarkan pulang ke asrama dan tidak mempunyai kontak dengan orang luar," katanya.

Lihat Komen
ADS