Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warisan dakwa Bersatu 'curi' ahli dengan tawar projek, jawatan
Diterbitkan:  Feb 17, 2021 9:03 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Seorang pemimpin Warisan mendakwa Bersatu menawarkan projek dan kedudukan kepada anggota Warisan sebagai pertukaran untuk keluar parti.

Ketua penerangan Warisan Semporna Hasbullah Rauddah berkata demikian ketika tampil menafikan laporan yang mengatakan sejumlah ketua cawangan Warisan baru-baru ini meninggalkan parti untuk menyertai Bersatu.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia menuduh Bersatu "mencuri" anggotanya.

"Perkara ini bukan saja berlaku di bahagian Semporna, malah rakan sekutu mereka dari Umno iaitu Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga pernah memberi amaran kepada Bersatu agar menghentikan kegiatan mencuri ahli.

Ada di antara penyokong dan pejuang parti Warisan mengaku ditawarkan projek bernilai RM1,000 untuk meninggalkan parti Warisan, ada juga ditawarkan jawatan dalam unit pemimpin pembangunan masyarakat selain jawatan ketua kampung dan jawatan di jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK)," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Bersatu untuk mendapatkan komen.

Semalam, agensi berita milik kerajaan, Bernama melaporkan bahawa 30 ketua cawangan Warisan Semporna meninggalkan parti untuk menyertai Bersatu, termasuk ketua cawangan Kampung Bangau-Bangau Noorasmah Omar dan ketua cawangan Sri Aman Abdul Jal Jayari.

Hasbullah dalam kenyataan media hari ini turut mempersoalkan identiti 30 ketua cawangan tersebut.

"Saya selaku ketua penerangan Warisan bahagian Semporna pada hari ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa individu yang mengisytiharkan diri mereka sebagai ketua cawangan yang berdaftar di Warisan Sabah bahagian Semporna adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Dia mengatakan ada yang merupakan bekas ketua dan anggota cawangan Umno. Sementara yang lain menurutnya hanya memimpin cawangan "tidak berdaftar" atau anggota biasa, dan bukan ketua.

Hasbullah juga mengatakan bahawa beberapa dari mereka yang hadir dalam upacara penyerahan borang keahlian Bersatu dengan ketua Bersatu Semporna Mohd Daud Tampokong telah "dimanipulasi" untuk menghadiri majlis tersebut.

"Ada beberapa individu dalam gambar (acara itu) yang mengakui bahawa agenda pertemuan pada hari itu tidak jelas dan kehadiran mereka dimanipulasi [...]," katanya, tidak memberikan keterangan lebih lanjut.

Ada di antara individu terdapat dalam gambar tersebut pada hari ini masih bersama-sama kita dalam dewan ini, mereka sendiri mengakui bahawa agenda perjumpaan yang diadakan kelmarin tidak jelas dan kehadiran mereka telah dimanipulasi dan adalah atas sebab sebagai penduduk kampung dan bukan seperti yang dimaklumkan dalam media," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Hasbullah untuk maklumat lebih lanjut.

Lihat Komen
ADS