Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara 1MDB ditangguh, saksi ada kontak rapat dengan rakan positif Covid-19

Perbicaraan rasuah membabitkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion oleh bekas perdana menteri Najib Razak hari ini ditangguhkan kepada 3 Mei.

Ia kerana bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman yang dijadualkan memberi keterangannya, hari ini memaklumkan bahawa dia terdedah dengan seorang rakan lain yang didapati positif untuk Covid-19, tiga hari lalu.

Semasa prosiding hari ini, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib memberitahu hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa mereka baru mengetahui perkembangan itu hari ini.

TPP semasa rehat pada prosiding awal hari ini, berkata, saksi pendakwaan ke-10 Hazem menerima pesanan teks dari rakannya yang memaklumkan bahawa dia (rakannya) telah diuji positif untuk Covid-19.

Ahmad Akram berkata pada Isnin minggu ini, Hazem menemui rakannya itu di sebuah bilik mesyuarat di lokasi yang tidak dinamakan. Dia dan rakannya dilaporkan duduk dua meter antara satu sama lain selama satu hingga dua jam.

“Yang Arif, ketika sesi rehat Mohd Hazem Abd Rahman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, menerima satu pesanan ringkas daripada rakannya, yang memaklumkan rakannya itu telah diuji positif Covid-19.

“Isnin lepas, saksi kami bertemu rakannya dalam sebuah bilik mesyuarat untuk tempoh lebih satu jam dan kurang dua jam. Mereka duduk berjarakan dua meter tetapi mesyuarat mereka diadakan lebih daripada satu jam.

“Sehubungan itu, saya memohon arahan daripada Yang Arif, sama ada untuk meneruskan dengan beliau (keterangan Mohd Hazim) hari ini atau untuk memberhentikan perbicaraan untuk masa ini,” kata Ahmad Akram.

Dia juga memberitahu bahawa adalah sukar bagi pihak pendakwaan menyediakan saksi lain untuk memberikan keterangan hari ini.

Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah kemudian bersetuju dengan pihak pendakwaan, sambil menambah bahawa mereka “tidak mahu mengambil risiko” dengan meneruskan perbicaraan hari ini.

“Saksi boleh jadi kontak rapat utama (primary exposure) dan kita adalah peringkat kedua. Jadi kami tidak mahu mengambil sebarang risiko,” katanya.

Berikutan itu, Hakim Sequerah kemudiannya menangguhkan perbicaraan ke 3 Mei dan mengarahkan pihak pendakwaan untuk mengemas kini status Mohd Hazem kepada mahkamah.

“Bukanlah suatu yang berhemat untuk mengambil risiko itu dan kita tidak tahu jika Mohd Hazim adalah asymptomatik”, katanya.

"Dia (Hazem) terdedah secara langsung, kita tidak seharusnya mengambil risiko.

"Lebih baik, kita (tangguhkan perbicaraan hari ini) hingga Mei," kata Shafee, sambil menambah bahawa menjelang Mei, mahkamah akan mengetahui tentang hasil ujian Covid-19 ke atas Hazem juga.

Pada 10 Feb lalu, perbicaraan telah ditangguhkan akibat Hazem mengalami demam dan menjalani ujian Covid-19. Bagaimanapun beliau telah diuji negatif.

Najib, 67, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan panggubahan wang haram melibatkan junmlah yang sama.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS