Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis: Penjaja, pembeli di simpang jalan boleh dikompaun
Diterbitkan:  Feb 18, 2021 3:20 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedar sekarang adalah waktu sukar untuk semua orang dan ramai yang berdepan dengan masalah mencari rezeki.

Ketua Polis Serdang ACP Razali Abu Samah berkata seboleh mungkin PDRM akan memberi nasihat awal kepada pihak yang didapati melakukan kesalahan seperti penjaja sebelum tindakan undang-undang diambil.

Namun katanya jika kesalahan itu diulang semula selepas dinasihatkan, ia kelihatan seperti mencabar pihak berkuasa.

Razali berkata demikian sebagai mengulas tindakan polis menyaman penjaja jalanan terutama di kawasan persimpangan lampu isyarat yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

"Ini adalah merupakan fasa kesedaran untuk menasihatkan penjaja dan pembeli. Polis tidak akan mengambil apa-apa tindakan walaupun undang-undang menyatakan kesalahan itu telah berlaku.

"Namun, dengan rasa prihatin dalam keadaan PKP ini yang menyebabkan kita agak sukar mendapatkan pekerjaan, polis menasihati mereka supaya tidak mengulangi kegiatan berkenaan.

"Pergilah kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk dapatkan lesen perniagaan. Kalau mereka mengulanginya nampak gaya macam mencabar, polis dan pihak penguat kuasa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya.

Semalam Razali sendiri mengetuai Op Kesedaran di kawasan Lestari Perdana dan pasar raya Giant di Seri Kembangan memberi tumpuan kepada penjaja jalanan di persimpangan lampu isyarat.

Bukan nak menghalang

Polis turut menahan empat individu membabitkan seorang warga tempatan dan tiga lelaki pemegang kad UNCHR. Mereka kemudian dibawa ke balai untuk soal siasat.

Kata Razali menjual atau membeli sesuatu barang di persimpangan jalan atau di atas jalan merupakan kesalahan jalan raya yang boleh dikompaun.

Dia juga berkata polis menerima rungutan daripada orang ramai mengenai pembabitan warga asing menjaja buah-buahan di persimpangan jalan raya.

"Mengikut undang-undang penjual dan pembeli boleh dikompaun kerana mengganggu keselamatan pengguna jalan raya. Jika gagal membayar kompaun, mereka boleh didakwa di mahkamah dan didenda," katanya.

Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii, meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) "bertimbang rasa" dan melihat semula tindakan mereka terhadap penjaja di persimpangan jalan raya.

"Ketika rakyat sukar mencari rezeki dan ramai hilang punca pendapatan, saya merayu kepada pihak polis untuk melonggarkan syarat ini.

"Tunggulah setelah selesai Covid-19 baru membuat operasi ini. Lebih 780,000 rakyat hilang pekerjaan. Buatlah operasi selepas negara melepasi masa-masa sukar ini.

"Bukan kita nak menghalang, namun bertimbang rasalah sedikit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lihat Komen
ADS