Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah terima audio ‘can I advise you something?’ jadi bahan bukti

Satu rakaman audio dan transkrip mengandungi ayat "Can I advise you something?" (Boleh saya beri nasihat kepada kamu mengenai sesuatu) diterima sebagai bukti dalam perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor yang berkaitan dengan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Rakaman audio yang sebelum ini ditampilkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dipercayai sebagai sebahagian daripada perbualan antara Rosmah dan suaminya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dimainkan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan semasa bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi keterangan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan telah membuat ketetapan berhubung penerimaan rakaman audio berkenaan, sebelum itu mengarahkan Rosmah, 69, untuk membela diri terhadap tiga dakwaan rasuah.

Beliau membenarkan rakaman audio itu yang ditanda sebagai IDP36, dan transkripnya yang ditanda sebagai IDP163, untuk menjadi bukti selepas pihak pendakwaan dalam hujah mereka menggesa mahkamah melihat semula permohonannya dan mengkaji semula ketetapan terdahulu mahkamah (berhubung permohonan pihak pendakwaan terhadap kedua-dua barang berkenaan sebagai eksibitnya).

Hakim berkata pihak pembelaan dalam membantah permohonan berhujah bahawa mahkamah telah 'functus officio’ (tugas yang sudah selesai dilaksanakan) apabila membuat ketetapannya, dan bahawa isu itu adalah ‘res judicata’, yakni keputusan yang dibuat tidak boleh dikaji semula.

Namun katanya beliau tidak dapat menerima hujah pembelaan bahawa mahkamah adalah functus officio kerana ia hanya akan menjadi functus officio apabila ia telah selesai melaksanakan tugas sepenuhnya.

“Dilihat dari perspektif yang tepat, mahkamah hanya boleh menetapkan bahawa ia functus officio, apabila ia secara rasmi menyelesaikan perbicaraan. Dalam keadaan sekarang, perbicaraan belum tamat, masih berjalan,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini berkata bagi hujah res judicata pula, satu konsep yang mungkin menjadi soal biasa dalam perkara berkaitan sivil, ia merujuk kepada keputusan yang telah dicapai di tahap akhir dan tidak boleh dipertikai lagi.

Beliau berkata ketetapannya berhubung penerimaan kedua-dua barang itu adalah ketetapan semata-mata, kerana ia dibuat semasa perbicaraan berlangsung.

“Ia bukanlah keputusan dengan konteks dalam Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, yakni penghakiman, hukuman atau perintah. Peraturan yang sesuai adalah bahawa keputusan yang dibuat semasa perbicaraan tidak boleh dianggap sebagai satu keputusan akhir, kerana keputusan akhir memiliki unsur penamat.

“Saya ingin menambah, bahawa konsep res judicata dalam prosiding mahkamah adalah lebih relevan dalam membangkitkan hujah ‘double jeopardy’, bahawa seseorang itu tidak boleh dibicarakan bagi kesalahan sama lebih daripada sekali,” katanya.

Menyentuh Seksyen 41A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, hakim itu berkata seksyen itu adalah klausa ‘non obstante’, yang berlaku di atas peruntukan bukti dokumentari dalam Akta Keterangan 1950.

Beliau berkata perkataan-perkataan dalam Seksyen 41A adalah jelas dan nyata membenarkan setiap dokumen atau salinannya yang diterima oleh Suruhanjaya, untuk diterima dalam mana-mana prosiding.

“Oleh itu saya merumuskan bahawa rakaman audio (IDP 36) dan transkrip (IDP 163) diterima sebagai bahan bukti, dan menamakannya masing-masing dengan P36 dan P163. Tapi saya perlu menambah bahawa beban yang dikenakan terhadapnya adalah pertimbangan yang berbeza sama sekali,” kata hakim itu.

Sebelum ini pihak pendakwaan cuba memasukkan kedua-dua barang itu sebagai eksibitnya semasa perbicaraan, dan kedua-dua pihak pada 11 Dis lepas, menghantar hujah masing-masing berhubung penerimaan barang berkenaan.

Hakim Mohamed Zaini berkata beliau membuat ketetapan pada hari yang sama, yang tidak memihak kepada permohonan pihak pendakwaan.

"Saya kemudiannya terus memberikan hala tuju kepada kedua-dua pihak untuk menghantar hujah bertulis di penghujung kes pendakwaan, dan seterusnya mendengar hujah secara lisan,” katanya.

Berhubung penemuan yang dikemukakan kes pendakwaan, Hakim Mohamed Zaini berkata adalah menjadi tanggungjawab mahkamah untuk membuat kesimpulan sama ada pihak pendakwaan telah menampilkan kes prima facie terhadap tertuduh di hujung kes pendakwaan.

Beliau menjelaskan bahawa tertuduh hanya akan dipanggil membela diri sekiranya kes prima facie telah dibuktikan terhadapnya.

“Tugas asas hakim perbicaraan di hujung kes pendakwaan adalah untuk bertanya kepada dirinya sendiri, sama ada dia bersedia untuk menyabitkan tertuduh, sekiranya tertuduh memilih untuk berdiam diri jika dipanggil untuk membela diri.

"Sekiranya jawapannya adalah negatif, tiada kes prima facie terhadap tertuduh, dan dia kemudiannya harus dibebaskan. Saya tidak berhasrat untuk memberikan ringkasan kepada penemuan saya di peringkat ini. Dalam memberikan penilaian maksimum kepada kes pendakwaan, saya mendapati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Hakim Mohamed Zaini berkata beliau yang menimbangkan bukti oleh pihak pendakwaan turut mendapati bahawa anggapan di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 telah dibangkitkan terhadap Rosmah.

"Saya mendapati pihak pendakwaan telah memberikan bukti yang boleh dipercayai untuk membuktikan setiap elemen kesalahan di bawah ketiga-tiga tuduhan itu, yang jika tidak dipatahkan oleh hujah balas atau tidak dapat dijelaskan, akan membawa kepada sabitan. Oleh itu, saya minta supaya tertuduh tampil membela diri," katanya.

Selepas hakim menyampaikan penghakimannya, jurubahasa memaklumkan kepada Rosmah bahawa dia mempunyai tiga pilihan, sama ada berdiam diri dan tidak menjawab semua pertuduhan, memberikan kenyataan tidak bersumpah dari tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan, atau memberi keterangan bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh turut menjelaskan kepada anak guamnya berhubung tiga pilihan itu, dan Rosmah memberitahu mahkamah bahawa dia memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menawarkan 10 saksi kepada pihak pembelaan, termasuk Najib, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan tiga pegawai Maybank untuk memberi keterangan.

Semasa ditanya oleh Hakim Mohamed Zaini, berapa ramai saksi pembelaan akan dipanggil, Jagjit menjawab mereka mungkin ada lima atau enam saksi.

Mahkamah menetapkan sembilan hari, yakni pada 9,10,15,16,17,22, 23 pada bulan Jun, serta 12 dan15 Julai bagi mendengar keterangan Rosmah serta saksi pembelaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS