mk-logo
Berita
Ibu tiri sorok anak dalam but kereta untuk rentas daerah
Diterbitkan:  Feb 18, 2021 10:29 AM
Dikemaskini: 10:29 AM

Tindakan seorang wanita menyembunyikan anak tirinya dalam but kereta hanya kerana mahu merentas daerah untuk ke sebuah pasaraya di Seberang Jaya berjaya dihidu pihak polis dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 2.4 Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), semalam.

Wanita berusia 35 tahun itu yang memandu kereta jenis Proton Waja melalui SJR berkenaan pada 5 petang ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad berkata terdapat seorang remaja lelaki di tempat duduk penumpang hadapan dan pemandu memaklumkan mereka yang tinggal di daerah Seberang Perai Utara mahu ke sebuah pasaraya di Seberang Jaya untuk membeli pakaian.

"Polis yang menahan kenderaan wanita itu meminta dia memandu keretanya ke bahu jalan kerana dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang lagi remaja lelaki berusia 14 tahun sedang menyorok di dalam but.

"Wanita itu memberi alasan terpaksa menyorokkan anak tirinya kerana mahu ke pasar raya tersebut dan bimbang ditahan polis jika menaiki kereta lebih daripada dua orang kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika PKP sekarang ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shafee berkata polis telah mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap pemandu kereta itu kerana gagal mengemukakan permit pergerakan dan kenderaan tersebut turut diarah berpatah balik manakala pihaknya memberi nasihat kepada dua remaja lelaki kerana masih di bawah umur.

Katanya, remaja yang berada ditempat duduk hadapan adalah rakan kepada anak tiri pemandu kereta itu dan berusia 14 tahun.

Kejadian itu tular di media sosial hari ini selepas beberapa keping gambar memaparkan seorang lelaki sedang berbaring di dalam but sebuah kereta dimuat naik di laman sosial.

- Bernama

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini