Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno turut bimbang kebebasan bersuara lepas Malaysiakini didenda RM500,000

Pemimpin Umno hari ini turut melahirkan kegusaran mereka terhadap kebebasan bersuara di negara ini selepas Malaysiakini dikenakan denda RM500,000 oleh mahkamah gara-gara komen yang ditinggalkan pembaca pada laporan portal terbabit.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii, berkata hukuman yang dikenakan terhadap Malaysiakini akan menjadi rujukan kepada media lain jika ada kes seperti itu pada masa depan.

"Dikenakan hukuman berat ini akan menjadi rujukan kes, jadi bukan hanya Malaysiakini yang kita khuatir tetapi termasuklah pemilik-pemilik akaun Facebook, Instagram atau media lain.

"Takkanlah mahkamah boleh melayan kes-kes ini dengan denda.

"Jadi seolah-olah tak ada kebebasan. Selagi mana kebebasan dikawal, tidak mengancam keselamatan negara, itu kebebasan bersuara.

"Jangan bunuh kebebasan bersuara," katanya kepada Malaysiakini.

Razlan Rafii

Terdahulu, Malaysiakini didenda RM500,000 kerana disabitkan bersalah menghina mahkamah menerusi komen yang dibuat pembacanya. Mahkamah Persekutuan menjatuhi hukuman itu semasa prosiding pagi tadi.

Pada hujung prosiding Jabatan Peguam Negara memohon Malaysiakini denda sebanyak RM200,000 namun hakim yang bersidang kemudian menetapkan portal berita terbabit didenda RM500,000.

Terdahulu dalam keputusan majoriti 6-1, hakim mendapati Malaysiakini bertanggungjawab atas penghinaan terhadap mahkamah menerusi komen pembacanya.

Selagi tak ancam nyawa, rusuhan

Bagaimanapun, keputusan majoriti memutuskan bahawa ketua editor portal berita berkenaan, Steven Gan tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.

Seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah, menzahirkan harapannya agar kebebasan media dan kebebasan bersuara di Malaysia terus dikekalkan.

"Saya tidak sama sekali mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Cuma saya berharap agar kebebasan media, kebebasan bersuara masih ada dalam negara kita yang tercinta ini.

Armand Azha Abu Hanifah

"Jangan sesekali kita menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara kepada semua rakyat kerana itu adalah hak mereka.

"Selagi mana mereka tidak mengancam atau membawa kepada rusuhan kaum, menganggu kestabilan negara, bagi saya kita tidak perlu menyekat hak mereka," katanya.

Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid, pula meminta kerajaan supaya tidak membunuh kebebasan media dan kebebasan bersuara di negara ini.

Katanya, kebebasan harus diberikan kepada media untuk menyuarakan permasalahan rakyat, kritikan yang membina kepada negara.

"Media juga turut memainkan peranan yang penting kepada pembangunan negara, jadi kita tidak seharusnya menyekat kebebasan media untuk bersuara," katanya.

Sementara Ketua Penerangan (Penaja) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin memaklumkan parti itu menyatakan solidariti kepada Malaysiakini.

"Walaupun keputusan telah dibuat oleh mahkamah, Pejuang akan terus menyokong dan bersolidariti bersama Malaysiakini," katanya.

Lihat Komen
ADS