Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kedai makan di Kelantan dibenar beroperasi hingga 12 malam

Kerajaan Kelantan membenarkan semua premis dan restoran kedai makan beroperasi sehingga jam 12 malam berkuat kuasa serta merta sepanjang perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, perkara itu diluluskan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan berkait keselamatan dan ekonomi rakyat.

Jelasnya, beberapa prosedur operasi standard (SOP) lain yang diselaraskan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat pusat adalah berkait jumlah individu yang dibenarkan berada di meja makan di setiap premis.

"Pelanggan boleh berada di meja makan mengikut keluasan meja, tetapi wajib mematuhi SOP ketat dengan penjarakan fizikal satu meter," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa teknikal Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Kelantan menghadkan operasi kedai makan beroperasi sehingga jam 10 malam dan hanya dua orang berada di meja makan.

Dalam perkembangan lain Izani berkata, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan yang dijangkiti Covid-19 tidak akan menduduki peperiksaan esok.

Jelasnya, calon yang terjejas itu akan menduduki peperiksaan pada tarikh yang ditetapkan nanti seperti diputuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Mereka ini akan dikumpulkan dalam satu masa dan tarikh yang sesuai untuk mengambil peperiksaan itu selepas mereka habis tempoh kuarantin.

"Berapa jumlah pelajar dan jumlah sekolah, saya tidak mempunyai maklumat," katanya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, seramai 41 calon SPM di sebuah sekolah asrama di Machang disahkan positif Covid-19.

Lihat Komen
ADS