mk-logo
Berita
Kes M'kini: MCA gesa PM perbaharui peranan peguam negara
Diterbitkan:  Feb 21, 2021 5:41 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

MCA menyertai gesaan untuk perbaharui peranan peguam negara berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mensabitkan portal berita Malaysiakini dalam kes menghina mahkamah susulan komen yang dibuat oleh pembaca.

Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA Ng Kian Nam mengatakan pihaknya khuatir keputusan kes itu menetapkan duluan (precedent) berbahaya yang menekan kebebasan bersuara.

Dia menambah bahawa Peguam Negara Idrus Harun memikul tanggungjawab untuk memulakan prosiding penghinaan.

"Idrus yang memulakan kes menghina mahkamah terhadap Malaysiakini patut mendapat teguran kerana dia yang memulakan masalah ini, yang telah memalukan kehakiman Malaysia dan menjejaskan kebebasan bersuara di Malaysia," kata Ng dalam satu kenyataan.

"Kami juga meminta perdana menteri untuk melaksanakan reformasi struktur sesegera mungkin, seperti membahagikan peranan peguam negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan sebagai pendakwa raya kes-kes jenayah, dan melantik calon yang lebih sesuai untuk posisi yang relevan.

"Hanya dengan cara ini, kebebasan sistem kehakiman dan kebebasan bersuara warga negara kita benar-benar ditegakkan," tambahnya.

Sebelum ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman, yang juga Ahli Parlimen Pengerang dari Umno, juga telah meminta pembaharuan terhadap Jabatan Peguam Negara.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan memutuskan dengan keputusan 6-1 bahawa Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah susulan komen pembaca.

Komen pembaca yang menjadi pertikaian itu dipadam 12 minit selepas Malaysiakini dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan ketua pengarang Malaysiakini, Steven Gan juga telah meminta maaf setelah keputusan itu dibuat.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mengenakan denda RM500,000, iaitu lebih tinggi berbanding yang diminta pihak pendakwaan (RM200,000).

Kutipan dana orang ramai untuk membantu membayar denda berkenaan mencapai sasaran dalam masa lima jam.


Ng berkata setelah meneliti komen yang menjadi pertikaian itu, dia mendapati komen-komen itu lebih ditujukan kepada peguam negara berbanding mahkamah.

"Setelah analisis mendalam mengenai isi komen pembaca, saya percaya bahawa dari segi fakta, kritikan terhadap pengguguran tuduhan dalam kes bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, lebih cenderung mempersoalkan integriti peguam negara.

"Ini kerana hak untuk menarik balik pertuduhan diputuskan oleh pendakwa raya dan tidak ada hubungannya dengan integriti kehakiman.

"Saya percaya mahkamah harus membezakan dengan berhati-hati antara kritikan pembaca terhadap Peguam Negara dan sistem kehakiman untuk menjaga kebebasan badan kehakiman," katanya.

Dia juga menyatakan keprihatinan terhadap penggunaan peruntukan penghinaan terhadap mahkamah untuk menangani isu tersebut, dengan menyatakan bahawa undang-undang fitnah lebih sesuai.

"Saya percaya bahawa isu yang paling kontroversial yang terlibat dalam Mahkamah Persekutuan yang menangani tuntutan saman Malaysiakini adalah penggunaan dakwaan menghina mahkamah, yang jarang digunakan oleh mahkamah Malaysia," katanya.

Upko gesa pembaharuan di parlimen

Sementara itu, Upko menyatakan kebimbangan bahawa keputusan itu akan memberi kesan terhadap kebebasan bersuara.

Upko menggesa Seksyen 114A Akta Keterangan, peruntukan yang berkaitan dengan penghinaan mahkamah dan juga Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dikaji semula

Dalam kenyataan bersama, Presiden Upko Wilfred Madius Tangau, Rimbalan Presiden Upko Donald Mojuntin dan Naib Presiden Upko Ewon Benedick menyeru agar penggantungan Parlimen ditamatkan agar isu-isu berkenaan dapat ditangani.

"Bahkan sebelum Parlimen dapat meneruskan fungsinya, Upko menggesa anggota jawatankuasa terpilih khas parlimen mengenai kebebasan asasi dan hak perlembagaan untuk mengadakan mesyuarat tidak rasmi.

"Semua anggota parlimen lain yang berkaitan juga menyeru agar jawatankuasa itu berfungsi sebagai rentas lintas parti tidak rasmi.

“Upko dengan senang hati melihat pemimpin Umno telah menyuarakan keprihatinan mereka terhadap keputusan Malaysiakini.

"Sudah waktunya bagi anggota parlimen Umno untuk bergabung jika anggota parlimen pembangkang mempertahankan kebebasan bersuara," kata mereka.

Mereka mengatakan jawatankuasa parlimen berkenaan dapat mula mengkaji peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan ekspresi dalam talian dan penghinaan terhadap mahkamah, sebagai persiapan untuk usaha pembaharuan sebaik penggantungan Parlimen ditamatkan.

Lihat Komen
ADS