Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kritik keputusan mahkamah bukan hasutan, kata Lim
Diterbitkan:  Feb 22, 2021 3:41 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Kritikan terhadap keputusan mahkamah tidak sepatutnya disamakan dengan menghasut mahupun dilihat sebagai mempersoalkan kewibawaan kehakiman, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menurutnya, kritikan tersebut sebaliknya sudah menjadi kelaziman dalam perundangan dan menutup perbezaan pandangan adalah usaha menyekat kebebasan bersuara.

Dia merujuk kenyataan yang dibuat Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago setelah Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman denda RM500,000 kepada laman berita itu atas sabitan menghina mahkamah.

"Kebebasan bersuara akan lebih tersekat dengan tindakan membuka kertas siasatan terhadap mereka.

"Adakah menyekat kebebasan media dan bersuara sudah menjadi norma baru setelah pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen?" soalnya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah (OCPD) Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan Gan dan Santiago kini disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Multimedia dan Komunikasi.

Katanya, siasatan dibuka selepas polis menerima dua laporan semalam oleh seorang individu yang dikatakan mewakili sebuah NGO yang berpusat di Gurun, Kedah.

Menurut Lim, siasatan itu memberi imej negatif sebuah kerajaan yang berasa tidak selamat yang telah hilang majoriti di Parlimen.

"Satu demi satu hak asasi manusia dan demokrasi ditutup secara sistematik.

"Jika kertas siasatan boleh dibuka terhadap mereka, adakah ini bermakna polis juga akan menyiasat ribuan kritikan dan komen yang serupa?" soalnya.

Dia menggesa orang ramai terus menyokong kalangan yang menurutnya menggunakan hak kebebasan bersuara dan media, sepertimana sokongan yang ditunjukkan ketika meraih dana bagi Malaysiakini menjelaskan denda yang dikenakan.

'Kritik kehakiman bukan lagi kesalahan'

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, pindaan Akta Hasutan yang dibuat pada 2015 telah membuang Seksyen (3)(1)(c) - berhubung kesalahan mencetuskan kebencian, penghinaan atau rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran kehakiman di Malaysia atau mana-mana negeri.

"Maka kritikan terhadap pentadbiran kehakiman bukan lagi kesalahan di bawah Akta Hasutan dan saya tidak dapat lihat mengapa Santiago dan Gan disiasat di bawah akta ini.

"...Perlu ditekankan yang niat Santiago dan Gan dalam membuat kenyataan mereka adalah lebih relevan berbanding apa-apa siasatan yang dibuat ke atas mereka.

"Dengan kata lain, mereka perlu diberi peluang untuk menjelaskan sebab di sebalik kenyataan mereka, dan ia perlu diambil kira dalam pembelaan mereka," katanya, menggesa siasatan terhadap kedua-duanya dihentikan.

Lihat Komen
ADS