Malaysiakini
BERITA

Majlis Gereja minta kerajaan tak usir pelarian Myanmar

Diterbitkan

Majlis Gereja Malaysia hari ini berkata Putrajaya tidak sepatutnya terlibat dalam amalan menolak pelarian.

Kenyataan itu dibuat ketika kerajaan bercadang untuk mengusir 1,200 pelarian Myanmar dan bekerjasama dengan junta tentera negara itu yang baru saja melancarkan rampasan kuasa.

Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia Hermen Shastri berkata ada antara pelarian yang akan dihantar pulang itu terdiri daripada pelarian dan pencari suaka.

"Menghantar pulang warga Myanmar ketika negara itu dilanda kemelut politik di meletakkan mereka dalam keadaan yang tidak menentu.

"Sistem semak dan seimbang, ketelusan dan kebertanggungjawaban semuanya telah lenyap dan menghantar pelarian terbabit pulang sekarang meletakkan mereka dalam situasi yang sangat bahaya.

"Oleh karena itu, kami meminta kerajaan untuk tidak ikut serta dalam penyingkiran pelarian kerana tindakan itu bertentangan dengan undang-undang dan norma antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Dia juga mendesak kerajaan untuk mengizinkan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi pelarian (UNHCR) diberi akses penuh ke pusat tahanan untuk mengenal pasti pelarian dan pencari suaka.

“Sehingga undang-undang dan ketertiban dipulihkan di Myanmar, dan kerajaan yang dipilih secara demokratik, dipilih oleh suara rakyatnya yang majoriti, kita tidak boleh menggadarkan nyawa 1,200 warga Myanmar yang ditahan ini ke wilayah yang tidak diingini dan bahaya," katanya.

Hermen menegaskan ajaran Kristian mementingkan sifat belas kasihan dan ihsan.

"Oleh kerana ini adalah musim Paskah (bagi agama Kristian) dan kita diseru untuk melakukan penelitian rohani dan beramal, apa cara yang lebih baik untuk mengesahkannya selain menegakkan prinsip kesucian hidup dan martabat semua orang, diciptakan, dikasihi dan dikurniakan hak oleh Tuhan.

"Tidak ada seorang pun pencari suaka, pelarian dan orang lain yang hidupnya terancam harus dipaksa untuk kembali ke Myanmar atau negara lain sehingga mereka mungkin menghadapi penganiayaan dan bahkan kematian dalam situasi konflik," katanya.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.