Malaysiakini
BERITA

Dr Adham: Suntikan vaksin ambil masa 15 ke 30 minit

Diterbitkan

Individu yang akan disuntik dengan vaksin Covid-19 perlu melalui lima stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan proses suntikan mengambil masa antara 15 dan 30 minit termasuk proses pemantauan untuk kesan sampingan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya stesen pertama ialah untuk saringan gejala dan suhu; stesen kedua untuk pendaftaran; stesen ketiga bagi konsultasi dan persetujuan imunisasi; stesen keempat untuk suntikan vaksin Covid-19; serta stesen kelima untuk pemerhatian.

“Dari saringan suhu sehingga suntikan akan ambil masa antara 10-15 minit. Bagi proses pemerhatian pula selama 15 minit (lagi), namun kita perlu beri ruang secukupnya untuk pemantauan dijalankan,” katanya pada sidang media selepas melakukan simulasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya, hari ini,

Turut hadir Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula esok (24 Feb) dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 pada hari pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Program itu pada asalnya dijadualkan bermula 26 Feb, namun dipercepatkan ke 24 Feb.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata kementeriannyan sudah bersedia untuk melaksanakan fasa pertama yang melibatkan 572,588 petugas barisan hadapan berdaftar mengikut rekod setakat 21 Feb lepas.

Menurutnya, sebanyak 532 PPV telah dikenalpasti di seluruh negara untuk pelaksanaan program vaksinasi terbesar negara itu dan dibahagikan kepada lapan kategori mengikut bilangan petugas dan keluasan premis.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata wanita mengandung serta yang menyusukan anak tidak akan diberi suntikan vaksin Covid-19 berdasarkan ketetapan yang dibuat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Pensyarah Perubatan Mikrobiologi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Niazlin Mohd Taib dilapor menyarankan wanita mengandung serta yang menyusukan anak agar menangguhkan pengambilan vaksin Covid-19 bagi mengelak sebarang kemungkinan kesan sampingan berikutan belum ada bukti klinikal untuk menyokong penggunaan vaksin itu dalam kalangan golongan tersebut.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.