Malaysiakini
BERITA

Bapa berdepan 67 tuduhan rogol anak berusia 14 tahun, rakannya

Diterbitkan

Seorang lelaki berusia 42 tahun akan menghadapi 67 tuduhan jenayah merogol anak kandungnya dan rakan sekolah yang berusia 14 tahun.

Menurut Ketua Polis Klang Selatan Shamsul Amar Ramli, suspek telah merogol anaknya sejak dia berusia 10 tahun empat tahun lalu.

Dia akan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang esok dengan sembilan tuduhan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, suspek juga akan didakwa dengan 58 pertuduhan bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan sumbang mahram yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Shamsul berkata dalam kes pertama, siasatan mendapati suspek mengajak rakan anaknya ke rumah di Klang pada 7 Januari.

"Kemudian suspek telah menolak mangsa ke atas katil dan merogol. Selepas itu, dia berpesan supaya tidak beritahu sesiapa.

"Bagaimanapun, mangsa memberitahu insiden tersebut kepada seorang rakan bernama Natasha (bukan anak suspek) dan Natasha telah memberitahu kepada ibu mangsa.

"Mangsa dibawa ke balai buat laporan," kata Shamsul pada kenyataan hari ini.

Selepas itu, anak perempuan suspek, ditemani oleh ibunya, juga membuat laporan setelah mengetahui bahawa rakannya membuat laporan polis.

Dia mendedahkan bapa kandungnya itu telah merogol dirinya sejak berusia 10 tahun dengan insiden terbaru didakwa berlaku pada bulan lepas.

Suspek merupakan penjual air tebu mempunyai dua rekod jenayah termasuk kesalahan berkaitan dadah.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.