MB Kelantan: Cucuk vaksin macam nak pergi Mekah saja
Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob menyatakan kesediaan untuk menjadi individu pertama yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di negeri itu pada 2 Mac depan.
"Insya-Allah, ia macam kita nak pergi Mekah saja. Perdana menteri pun sudah lakukan, ketua pengarah kesihatan pun sudah terima suntikan.
"Di Kelantan seramai 140 individu akan menerima suntikan pertama terdiri daripada kakitangan kerajaan (barisan hadapan), jentera pentadbira, ulama dan ahli politik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu Ahmad bersama Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, menyambut ketibaan konvoi membawa bekalan 18, 720 dos vaksin pertama bagi negeri Kelantan.
Bekalan itu dibawa dengan sebuah van syarikat perkhidmatan ekpress diiringi kenderaan peronda polis.
Sementara itu Ahmad berkata, sebanyak 39 pusat penerimaan vaksin Covid-19 disediakan di seluruh negeri.
"Ia terdiri daripada hospital kerajaan, hospital universiti, pusat kesihatan tentera, dan klinik-klinik kesihatan.
"Sehubungan itu, saya menyeru kepada seluruh masyarakat di Kelantan supaya mendaftarkan diri sebagai penerimaan vaksin ini," katanya.
Dalam perkembangan itu juga Ahmad berkata, sebanyak 43,290 dos vaksin untuk 21,645 orang petugas barisan hadapan akan diterima Kelantan secara berperingkat mulai 25 Feb sehingga April ini.
"Untuk permulaan, vaksin jenis Pfizer BioNTech yang menggunakan teknologi Jerman akan diterima dan vaksin ini perlu disimpan di dalam peti sejuk dengan suhu -70 darjah celsius, ditempatkan di empat lokasi mengikut zon di Kelantan," katanya.

