Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Steven Gan, Charles Santiago dipanggil ke Bukit Aman Isnin depan
Diterbitkan:  Feb 25, 2021 7:33 PM
Dikemaskini: 11:33 AM

Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dipanggil ke Bukit Aman Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuat selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan portal berita itu bersalah kerana menghina mahkamah Jumaat lalu.

Charles menerusi Twitter berkata dia dipanggil ke Bukit Aman pada jam 10.30 pagi, 1 Mac bagi merekodkan keterangannya.

"Ini berkaitan laporan polis yang dibuat terhadap saya di Kedah berhubung respon saya terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Malaysiakini.

"Saya mengulangi bahawa saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis," katanya.

Gan mengesahkan dia juga dipanggil untuk memberikan keterangan pada pukul 2 petang hari yang sama bersama seorang subeditor Malaysiakini.

Awal minggu ini, Ketua Polis Daerah (OCPD) Kuala Muda, Adzli Abu Shah mengesahkan dua laporan polis dibuat secara berasingan terhadap Charles dan Gan oleh seorang individu dari sebuah NGO di Gurun, Kedah.

"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4 (1) untuk hasutan dan Seksyen 233 di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi.

"Pengadu membuat dua laporan berasingan, satu terhadap Steven, satu terhadap YB Charles.

"Kami belum menghubungi mereka, tetapi kami akan segera menghubungi mereka untuk memudahkan siasatan," katanya kepada Malaysiakini.

Jumaat lalu, Malaysiakini didenda oleh Mahkamah Persektuan sebanyak RM500,000 atas dakwaan menghina mahkamah menerusi komen pembaca di portal berita itu.

Prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini dan Gan dimulakan oleh Peguam Negara Idrus Harun berhubung komen yang dibuat oleh pembaca di laman web berita itu.

Idrus berkata kedua-dua responden telah menghina mahkamah dengan memfasilitasi komen lima pembaca berhubung satu artikel bertarikh 9 Jun yang bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun tidak menjatuhkan hukuman terhadap Gan. Keputusan majoriti 6-1 itu tidak boleh dirayu.

Gan dan Charles adalah antara mereka yang banyak membuat kenyataan kritikal terhadap keputusan mahkamah itu.

Lihat Komen
ADS