Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kunjungan tahun baru Cina cetuskan kluster di S'wak, 14 positif setakat ini
Diterbitkan:  Feb 25, 2021 9:53 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Satu kluster baru Covid-19 dikenal pasti di Sarawak, dipercayai daripada kunjungan ketika sambutan perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak memaklumkan terdapat 14 kes positif dalam kluster Jalan Ho Pin.

Mereka yang positif dipercayai dijangkiti ketika kunjungan perayaan di Samarahan, Serian dan Kuching antara 11 hingga 14 Februari.

Kes indeks adalah seorang wanita berusia 22 tahun yang disahkan positif pada 18 Februari, kata jawatankuasa itu.

"Siasatan lanjut dan pengesanan kontak menemukan 13 lagi kes positif, menjadikan jumlah kes positif kepada 14 setakat ini," menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan, seperti dipetik The Star.

Hari ini, terdapat 219 kes baru di Sarawak, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri itu kepada 8,869 kes. Dua kematian dilaporkan di Sibu.

Kluster Jalan Ho Pin dikenal pasti hanya dua hari selepas Sabah mencatatkan kluster pertama yang berpunca daripada perayaan tahun baru Cina.

Kluster tersebut, iaitu kluster Mawar, melibatkan 15 kes di Sandakan ketika ia mula dikenal pasti. Ia berkaitan dengan majlis makan besar sebuah keluarga pada 12 Februari, menurut Malay Mail.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini, sejumlah 19 daripada 53 individu yang disaring berkaitan kluster itu didapati positif. 

Lihat Komen
ADS