Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jazlan: Umno kena siasat siapa dalang buku sasarkan Zahid

Umno Kelantan menggesa siasatan dibuat terhadap penerbitan buku 30 Dalil Mengapa Ahmad Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden Umno.

Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub, berkata langkah itu diperlukan bagi membolehkan parti mencari dalang di sebalik penerbitan dan tersebarnya buku tersebut.

"Ia satu sebaran atau dakyah yang tidak berasas, dan bagi ahli parti, mesti rasional dalam soal ini.

"Patut disiasat siapa yang mengedarkan dan dalang di sebalik perkara ini kerana ternyata usaha ini untuk memecah-belahkan Umno," katanya kepada media selepas hadir program Ceria Ke Sekolah anjuran Tenaga Nasional Berhad di Kota Bharu, hari ini.

Jazlan yang juga anggota parlimen Machang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewujudan dan penularan buku berkenaan yang menyasarkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, buku terjudul 30 Dalil Mengapa Ahmad Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden Umno itu dikatakan sudah beredar dalam kalangan ahli Umno sama ada dalam bentuk cetakan atau digital dan dilaporkan tersebar sejak bulan lalu. 

Antara isu yang dibangkitkan dalam buku itu ialah kes-kes mahkamah Ahmad Zahid, rekod buruk dan kegagalan Umno dalam beberapa pilihan raya kecil sejak dia menjadi presiden dan penghijrahan ahli parlimen Umno ke parti lain.

Turut dijadikan 'dalil' ialah dakwaan Ahmad Zahid juga mengadakan kerjasama dengan DAP.

Untuk menangkis hujah-hujah tersebut, sebuah buku lain diterbitkan bagi mempertahankan ahli parlimen Bagan Datuk itu.

Ahmad Jazlan berkata, usaha untuk menjatuhkan pemimpin dengan cara sedemikian sepatutnya tidak berlaku kerana Umno adalah parti paling demokratik.

"Umno di Malaysia ini adalah parti yang paling demokrasi berbanding parti-parti lain. Kita ada pemilihan untuk menentukan pemimpin, maka di situlah kita boleh buat keputusan.

"Tidak perlu ada usaha untuk menjatuhkan pemimpin sebelum pemilihan," katanya.

Umno juga kata Ahmad Jazlan parti yang masih kuat, relevan dan diyakini walaupun pada pilihan raya umum lalu berdepan sedikit masalah kerana hilang kepercayaan rakyat.

Namun katanya asas dan teras parti itu masih sama.

"Sebab itu (Umno) parti paling besar memenangi PRU dan sehingga hari ini kita yakin rakyat boleh melihat dan menilai bahawa Umno parti terbaik untuk diberi pilihan memimpin negara," katanya.

Tambahnya, rakyat boleh menilai dengan jelas betapa Umno parti terbaik untuk membawa kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

"Bagaimana 62 tahun Umno memimpin dan selepas itu kita lihat dua kerajaan baru, maka jelas kepada kita bahawa Umno masih parti terbaik untuk membawa kemakmuran dan kesejahteraan," katanya.

Lihat Komen
ADS