Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin selesaikan tuntutan Sarawak tak sampai setahun - Fadillah

Walaupun baru setahun memegang jawatan perdana menteri, Muyiddin Yassin berjaya menyelesaikan isu berhubung tuntutan Sarawak terhadap Petronas seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof.

“Kalau kita ingat, di Sarawak banyak kali sudah tuntutan ini, tetapi di bawah perdana menteri ini (Muhyiddin), belum sampai setahun dia dapat menyelesaikan isu berhubung kait tuntutan Sarawak dengan Petronas.

“Sekarang ini bukan saja Sarawak mendapat bahagian, tetapi menjadi rakan kongsi kepada Petronas untuk sama-sama kita bangunkan industri gas dan minyak di Sabah dan Sarawak, dan akhirnya dapat menyumbang kemakmuran bersama keseluruhan negara kita.

“Insya-Allah, selepas ini kita akan berunding pula dengan Sabah mencari penyelesaian perihal tuntutan Sabah terhadap Petronas,” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Fadillah hadir di sidang media itu bersama tiga menteri kanan lain selepas mereka menghadiri majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin oleh Muhyiddin.

Kenyataan Fadillah itu dipercayai merujuk kepada rundingan urusan minyak dan gas serta cukai jualan (SST) ke atas produk petroleum di Sarawak yang disepakati kedua-dua pihak pada tahun lalu.

Pada Mei 2020 Muhyiddin mengumumkan persetujuan Sarawak dan Petronas menyelesaikan hal itu tanpa tindakan mahkamah, dan mereka dilaporkan menggugurkan tindakan undang-undang diambil mereka ke atas satu sama lain pada Ogos tahun lalu.

Pada 7 Disember lalu pula, Sarawak dan Petronas dilaporkan menandatangani Perjanjian Penyelesaian Komersial setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan ke atas terma-terma yang ditetapkan.

Perjanjian itu turut memastikan Sarawak terbabit sama dalam operasi Petronas melalui anak syarikatnya.

Sarawak pada Sept tahun lalu dilaporkan menerima pembayaran penuh SST sebanyak 5 peratus produk petroleum negeri bagi 2019 daripada Petronas.

Sabah pula pada 26 Dis dilaporkan turut mahu Petronas memberikan jumlah cukai jualan yang sama seperti yang diberikan kepada Sarawak ke atas sumber minyak dan gasnya.

Sebelum ini, bekas ketua menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata di bawah kerajaan PH, sebanyak 17 daripada 21 tuntutan dalam MA63 telah mencapai persetujuan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. 

Ia tidak termasuk isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] dan hak negeri ke atas pelantar benua.

Lihat Komen
ADS