Pegawai kepada Edmund Santhara Kumar menafikan tanggapan yang mengatakan timbalan menteri Wilayah Persekutuan itu tidak bekerja ketika berada di New Zealand sejak 23 Disember tahun lepas.

Sebaliknya, Mu Raja, pegawai tugas-tugas khas itu berkata bahawa Santhara memantau tugas pegawainya setiap hari walaupun berada di luar negeri.

"Setiap hari, semua pegawai diminta untuk menghantar laporan harian pada pukul 5 petang. Beliau akan menghubungi kami setiap hari untuk memantau senarai tugas harian.

"Sementara itu, isu-isu berkaitan kementerian dan kerajaan, dia menghubungi terus menteri dan pegawai-pegawai yang relevan.

"Maka, saya nafikan ada pihak yang sengaja melemparkan tuduhan bahawa beliau tidak bekerja dan sebagainya," katanya di sidang media, di Kuala Lumpur, hari ini.

Santhara yang kini berada di New Zealand dikecam di media sosial kerana dianggap masih menerima gaji meski "tidak kerja" sebagai timbalan menteri dan wakil rakyat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Segamat itu berkata bahawa dia memohon cuti selama 55 hari melalui menteri dan mendapat kelulusan perdana menteri pada 3 Disember lalu.

Katanya, tujuan keluar negara adalah bagi melawat anak-anaknya di New Zealand dan juga isteri yang mengalami masalah kesihatan setelah hampir setahun tidak berjumpa.

Menurut Raja, sejak Disember, Santhara telah melaksanakan pelbagai program khususnya pemberian pelitup muka dan sanitiser percuma kepada semua pelajar sekolah Tamil seluruh negara.

"Program kerjasama dengan Mitra (Unit Tranformasi Masyarakat India Malaysia) itu melibatkan 80,757 murid sekolah Tamil seluruh negara.

"Kami pegawai kepada timbalan menteri juga sentiasa turun padang di Wilayah Persekutuan termasuk Labuan dan Putrajaya untuk menjalankan tugas yang diberikan oleh menterinya," katanya lagi.

Terdahulu, anggota Parlimen Batu, P Prabakaran tampil mempersoal dan meminta penjelasan Santhara susulan laporan media yang mendakwa dia berada di negara itu sejak Dis tahun lalu.

Prabakaran juga memetik laporan Sarawak Report yang mendakwa Santhara tidak pulang ketika Segamat dilanda banjir pada bulan lalu.