Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas MP PKR mahu pertahan Julau, PRS kata tak akan diperbodohkan lagi
Diterbitkan:  Mar 4, 2021 9:12 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Anggota parlimen Julau, Larry Sng yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi PKR Sarawak bagi memberi sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhasrat mempertahankan kerusi parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang merupakan sebahagian daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), tidak akan mudah menyerahkan kerusi berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Sng berkata dia tidak akan bertanding merebut kerusi DUN sekiranya pilihan raya Sarawak diadakan.

Dia juga belum memutuskan apakah akan bertanding di Julau sebagai calon bebas atau di bawah logo parti lain pada pilihan raya akan datang.

"Saya akan "menyeberang jambatan" untuk sampai di sana. Sekarang, keutamaan saya adalah menunaikan janji saya kepada pengundi di kawasan saya," katanya.

Sng merupakan anak kepada ahli politik yang juga jutawan Sarawak, Sng Chee Hua.

Ahli politik berusia 41 tahun itu bertanding di bawah tiket Parti Bansa Dayak Sarawak pada pilihan raya negeri 2001 bagi menggantikan bapanya di kerusi Dun Pelagus.

Dia menjadi Adun Pelagus sebanyak dua kali mewakili BN dari tahun 2001 hingga 2011 dan dilantik sebagai penolong ketua menteri di bawah ketua menteri ketika itu, Abdul Taib Mahmud pada tahun 2004.

Sng kemudian mewakili PRS dan Parti Pekerja Sarawak sebelum menyertai PKR setelah memenangi kerusi Julau sebagai calon bebas pada pilihan raya umum lalu.

Sng mengalahkan calon PRS dalam pertarungan satu lawan satu setelah PKR memutuskan untuk tidak bertanding di Julau, yang merupakan kubu kuat BN sejak tahun 1970-an.

'Kami tidak akan ditipu dua kali'

Sementara itu, Presiden PRS James Masing berikrar akan merebut kembali kerusi Julau.

"PRS mempunyai enam kerusi parlimen, kami akan bertanding di semua enam kerusi," tambahnya dalam kiriman teks.

Masing juga menjelaskan PRS tidak akan menerima kembali Sng, yang bersama parti itu dari tahun 2004 hingga 2007.

"Kamu perbodohkan saya sekali, kamu patutnya malu. Kamu perbodohkan saya dua kali, saya yang malu. PRS tidak akan ditipu dua kali. PRS tidak akan menerima Sng dan gengnya," tambahnya.

Masing juga berharap Bersatu menunaikan janjinya agar tidak menyertai pilihan raya negeri atau meletakkan calon di Sarawak pada pilihan raya akan datang.

Ini merujuk kepada kerusi Parlimen Saratok dan Puncak Borneo yang dimenangi oleh Ali Biju dan William Mongin dari PKR yang kemudiannya melompat menyertai Bersatu.

Setiausaha Agung GPS, Alexander Nanta Linggi juga mengesahkan bahawa PRS akan bertanding di kerusi Julau.

"Ketika kami dibawa masuk untuk membentuk PN setahun yang lalu, setakat yang GPS tahu, presiden kami Abang Johari Openg membuat keputusan bahawa GPS akan bertanding di semua kerusi kami," katanya kepada Malaysiakini.

Alexander juga berkata GPS terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti yang akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya akan datang, termasuk dari PN dan BN.

"Saya percaya jalan ke hadapan adalah gabungan (pemerintah) akan terbentuk setelah keputusan pilihan raya umum diumumkan.

"Kami mahu bekerjasama dengan parti-parti yang tidak ekstrem dan membentuk pemerintahan yang stabil dan bermakna.

"Tidak ada salah bekerjasama dengan Umno atau parti lain. Bahkan DAP mengemuakan idea untuk bekerjasama dengan parti lain untuk menggantikan kerajaan Muhyiddin," tambahnya.

GPS sebelum ini keluar dari BN selepas gabungan itu tewas pada PRU 2018 dan mengumumkan sokongannya terhadap pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Parti itu kemudian menyokong kerajaan PN, yang membentuk kerajaan setelah berlaku rampasan kuasa politik tahun lalu.

[Baca laporan penuh]

Lihat Komen
ADS