Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu 'agama Melayu': Ibu Yati didakwa di mahkamah
Diterbitkan:  Mar 4, 2021 9:51 PM
Dikemaskini: 1:51 PM

Wan Norhayati Wan Alias atau juga dikenali Ibu Yati yang dikaitkan dengan ajaran 'agama Melayu' didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini

Utusan Online melaporkan bahawa Wan Norhayati sebelum ini ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersama tiga individu lain di sebuah premis di Hulu Langat kira-kira pukul 11.20 malam semalam.

Dalam laporan itu, Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad dipetik sebagai berkata bahawa kes dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah dan mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 kepada dua wanita dengan jaminan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 48.

“Bagi tertuduh lelaki pula, seorang daripadanya diikat jamin dengan RM1,000 dengan penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 41 manakala seorang lagi dilepaskan dengan bon jamin penguat kuasa.

“Tiga daripada tertuduh perlu diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak dua minggu sekali,” katanya seperti dilapor.

Mohd Shahzihan turut berkata bahawa dengan penangkapan keempat-empat individu itu dapat membantu menyelesaikan kes melibatkan beberapa individu di Selangor yang disyaki membuat tindakan menyanggah ketetapan hukum syarak atau fatwa.

“Selain itu, kes tersebut turut melibatkan penghinaan kepada al-Quran dan hadis, serta mempersenda, menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 28 Julai hadapan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam,” jelasnya,

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pada 2 Feb lalu memaklumkan bahawa polis telah memulakan siasatan terhadap ajaran "agama Melayu" yang didakwa menyeleweng.

Pada 29 Jan lalu, Ibu Yati, 41, menafikan membawa ajaran sesat mahupun agama baru.

Ibu Yati turut tempoh tujuh hari kepada Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasruddin Hassan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana membuat dakwaan itu.

Ini selepas Nasrudin, yang juga pemimpin PAS menyeru umat Islam di Malaysia tidak terpengaruh dengan dakwaan ajaran sesat 'agama Melayu' yang dikatakan dibawa oleh individu dikenali 'Ibu Yati'.

Lihat Komen
ADS