Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM: Buat laporan jika ada maklumat dakwaan cuba sogok MP
Diterbitkan:  Mar 6, 2021 5:46 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

SPRM menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan tawaran sogokan kepada ahli Parlimen untuk tampil membuat laporan dengan mereka.

Ia susulan Ahli Parlimen Sekijang daripada PKR, Natrah Ismail yang mendakwa dikunjungi dua individu yang bertanya sama ada dia berminat untuk menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta manfaat yang akan diperolehinya.

"SPRM memohon agar Natrah atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan terdapat individu menyogok ahli Parlimen berkenaan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini segera tampil membuat aduan kepada SPRM, sekiranya perkara itu benar-benar dianggap sebagai perlakuan rasuah.

"Aduan tersebut selaras dengan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 mengenai kewajiban melapor transaksi penyogokan. SPRM bersedia untuk menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut," kata SPRM dalam kenyataan hari ni.

Terdahulu, Natrah mendakwa dia dikunjungi dua individu tersebut, termasuk seorang yang bergelar ‘Datuk Seri’, pada 3 Mac lalu.

"Mereka bertanya apakah saya berminat untuk memberi sokongan kepada Muhyiddin serta manfaat yang boleh diperolehi dengan pemberian sokongan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan lebih lanjut identiti dua individu yang mengunjunginya itu atau butiran tawaran yang diterimanya jika menyokong kerajaan PN.

Selain Natrah, seorang lagi ahli Parlimen PKR, Awang Husaini Sahari (Putatan) turut membuat dakwaan serupa.

Dalam kenyataan semalam, dia berkata dihubungi individu yang membuat tawaran kepadanya sebagai pertukaran untuk sokongannya kepada Muhyiddin.

Namun, katanya dia menolak tawaran itu dan menegaskan yang dia "bukan untuk dibeli".

Lihat Komen
ADS