Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | "Sesebuah parti politik banyak menempuhi dugaan, yang sesetengahnya dapat diatasi dan sesetengahnya tidak. Perubahan-perubahan mungkin dibuat bagi menyesuaikan perjuangannya dengan keadaan yang terbaru. Adakalanya ia tidak dapat memahami keadaan yang berubah, dengan itu tidak dapat membuat persediaan".

Petikan di atas merupakan secebis inti pati buku 'Panduan politik, untuk keutuhan parti dan kesejahteraan rakyat' hasil tulisan tokoh pengkaji Umno, Wan Mohd Mahyiddin, diterbitkan 47 tahun lampau.

Walaupun sudah menghampiri separuh abad, kata-kata Wan Mohd Mahyiddin itu masih memberi gambaran yang kena dengan situasi politik semasa negara - ketika parti-parti sedang diuji di segenap sisi, baik di pihak kerajaan sementelah pula di pihak pembangkang.

Pengesahan Umno untuk tidak lagi sudi bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang menghantar isyarat kuat kepada iklim politik negara: bahawa perubahan-perubahan sedang dan akan berlaku.

Pun begitu, untuk kali ini biarlah penulis menarik perhatian terhadap bagaimana parti politik bergerak dan berubah dengan justifikasi yang boleh dihadam melalui petikan buku di atas, khususnya berkait sikap-sikap yang bakal diterjemahkan Umno.

Dalam situasi ini suka atau tidak, Umno yang diterajui Ahmad Zahid Hamidi sedang berdepan persimpangan yang sukar untuk ditentukan langkah lanjutnya - sama ada wajar ke kanan, ke kiri, ke depan atau mungkin terpaksa melakukan pusingan-U.

Kata Otto von Bismarck, "politik bukannya sains yang berdasarkan logik, ia adalah kebolehan memilih di antara keadaan-keadaan yang kian berubah, jalan yang paling kurang bahaya dan paling berguna."

Sekarang seluruh mata memandang langkah dan jalan bagaimana yang akan diambil Zahid bagi menentukan duduk letak Umno khususnya ketika menghadapi PRU ke-15 nanti.

Rasanya semua kita bersetuju kedudukan Zahid sebenarnya setara dengan bekas rakan seperjuangannya dalam Umno dulu iaitu Muhyiddin Yassin.

Cuma Zahid setakat ini tidak ditakdirkan menjadi perdana menteri walaupun sudah berada di tempat nombor wahid dalam Umno. Sedangkan Muhyiddin hanya sempat diletakkan di tempat kedua Umno dan kini menjadi perdana menteri dengan Bersatu.

Untuk rekod, ketika Muhyiddin disingkirkan daripada Umno, anggota parlimen Pagoh itu - semasa pulang ke kawasannya - dalam satu ceramah sempat melafazkan bait sajak Chairil Anwar.

Dengan lantang dan keras, Muhyiddin menyebut "aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang."

Sajak dengan tema perjuangan kental dan berakhir dengan teks mahu hidup seribu tahun lagi itu nampaknya membawa tuah sekali gus senjata yang kemudian membawa Muhyiddin di tempat yang bernama "menang atau senang."

Kini isu Umno, sejauh mana kemampuan Zahid mengolah perjuangannya dan Umno pada jalan-jalan yang dipilih?

Situasinya sukar kerana dia turut dikepung dengan kes-kes mahkamah.

Dalam keadaan begitu mampukah Zahid mengemudi bahtera besar Umno dan kerencamannya untuk mendapat restu setiap pimpinan parti itu dari atas ke bawah?

Lebih penting lagi, sejauh mana barisan wakil rakyat Umno bersetuju dengan jalan yang akan diambil Zahid?

Zahid patut waspada buah kilasnya

Dugaan Zahid hadir sebaik saja Umno disahkan enggan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRU akan datang apabila ada suara pimpinan yang tega membelakangkan pilihan diisyaratkan Zahid.

Keadaan itu memungkinkan Zahid terpinggir sedikit demi sedikit dan tidak mustahil dia akan terpelanting ke tanah tandus jika lebih banyak pimpinan Umno - di peringkat bahagian atau negeri - yang membuat keputusan seperti Perlis dan Sabah.

Memang selepas itu akan wujud perlawanan. Akan ada golongan Umno yang 'rebel' sekali gus memberi isyarat langsung bahawa ada risiko yang perlu dipikul sama ada oleh Umno sendiri atau pengemudi utama dan tentunya menjemuskan mereka ke lembah dilema.

Dalam situasi itu, Zahid patutnya lebih berwaspada terutama apabila melibatkan strategi dan buah kilasnya.

Pada akhirnya hala tuju Umno akan ditentukan secara rasminya pada pemilihan dan mesyuarat agung parti akan datang. Ia dijangka berlangsung dengan menarik dan perbahasan-perbahasan yang berwarna polanya untuk membolehkan parti itu bersikap dan bernokhtah.

Perkembangan susulan keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno baru-baru ini, menunjukkan parti itu juga mahu satu penjajaran baru politik atau memilih untuk bersendirian, setidak-tidaknya bersama BN.

Sebagai rekod, Harold Lasswell seorang sarjana sains politik moden membahaskan bahawa politik adalah suatu perubahan pola kesetiaan, strategi dan taktik.

Dalam buku bertajuk Politik: Siapa mendapat apa, bila, bagaimana, sarjana itu menyoroti bahawa analisis politik mungkin boleh mengkaji dengan baik penggantian sikap berkuasa melalui aliran masa.

Katanya lagi, perbuatan yang mengutamakan kepentingan politik paling runcing ialah perbuatan yang mengubah persekitaran sosial dan perbuatan politik adalah perbuatan luaran kerana mereka berpandukan persekitaran semasa bergerak ke titik penamatnya.

Sehubungan itu, mari kita soroti bagaimana Umno akan diolah sama ada melalui cetusan pemimpin tertinggi, wakil-wakil rakyat atau penentuan berjuta-juta ahlinya itu.

Apakah Zahid akan tampil di pentas utama perhimpunan agung dengan sekali lagi bersajak untuk menyampaikan iktibar perjuangan ketika menyampaikan ucapan dasar presiden nanti?

Atau boleh jadi juga langkah Zahid terhalang dengan konflik persaingan pada pemilihan lalu hingga mengubah semula denai-denai yang bakal dilalui parti keramat itu.

Sekiranya Umno benar-benar menzahirkan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, langkah itu juga bakal menimbulkan konflik terhadap Muafakat Nasional (MN) yang dipiagamkan bersama PAS.

Ia sudah pasti memerlukan pendekatan dan kaedah lain bagi menangani hubungan kerjasama berkenaan, sementelah PAS kini turut menjadi tiang seri dalam kerajaan PN yang diterajui Bersatu.

Malah PAS memberi isyarat kuat supaya Umno turut kekal bersama PN. 

Ini berpotensi meletakkan PAS dalam persekitaran yang tidak menyenangkan dan terpaksa membuat pilihan sama ada jalan popular atau kurang popular sekali pun membabitkan kerjasama politik sekiranya Umno kekal dengan pendirian yang diambil.

Seni politik sangat memainkan peranan dalam situasi ini. Ia akan membuahkan strategi atau menyebabkan tragedi baik kepada Umno atau parti-parti yang menjadi kawan, lawan atau bakal lawannya.

Secara tuntas, Zahid dan pimpinan Umno akan berdepan pelbagai pemboleh ubah yang memaksa mereka supaya bersedia walaupun dalam keadaan 'mati berdiri, hidup terlentang'.

Rentetan apa yang berlaku dan bakal terjadi itu bakal melakar sejarah baru landskap politik negara. 

Rakyat pula harus mengambil setiap plot dalam senario politik negara sebagai asas untuk berfikir secara matang agar amalan demokrasi berlangsung dengan sihat dan tumbuh lebih subur.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.

Lihat Komen
ADS