Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sidang Dun: Perak tunggu jawapan pejabat AG

Perak sedang menunggu jawapan daripada Pejabat Peguam Negara berhubung permohonan untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Speaker DUN Perak Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata Penasihat Undang-Undang Negeri telah merujuk kepada Pejabat Peguam Negara selepas pihaknya memohon pandangan berhubung perkara tersebut.

"Kita masih menunggu dan belum dimaklumkan sama ada ia (persidangan DUN) boleh dilaksanakan atau tidak dan insya-Allah dalam masa terdekat ini kita akan mendengar pandangan, seterusnya akan membuat pertimbangan.

"Saya juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Perak (Datuk Saarani Mohamad) dan seperti sedia maklum, Speaker berbincang dengan semua pihak dan parti dalam DUN Perak ini, tidak kira kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Hari Wanita Antarabangsa 2021 di sini hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

Mohamad Zahir berkata pihaknya menerima banyak cadangan menerusi perbincangan yang diadakan antaranya mengadakan persidangan atau perjumpaan dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan.

“Ia merupakan satu praktis yang baik, yang membuka ruang kepada Ahli dewan untuk bertanyakan soalan dan kepada pihak kerajaan untuk memberi jawapan-jawapan supaya masalah rakyat dapat terus kita atasi dan disampaikan secara rasmi.

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada nasihat dan pandangan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak dan Pejabat Peguam Negara,” jelasnya.

Beliau berkata persidangan DUN Perak sepatutnya diadakan selewat-lewatnya Jun ini selepas persidangan terakhir pada Disember lepas.

Pada 24 Feb lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Pada 12 Jan lepas, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung penularan pandemik COVID-19 di Malaysia.

Terdahulu, seramai 250 peserta wanita daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) menghadiri seminar sehari itu yang bertemakan ‘Women In Leadership’.

- Bernama

Lihat Komen
ADS