Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful: Mereka yang mahu PN berpecah adalah ejen DAP, PH
Diterbitkan:  Mar 9, 2021 11:08 AM
Dikemaskini: 3:08 AM

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menyifatkan sesiapa sahaja yang mahu Perikatan Nasional berpecah dan lemah sebagai 'ejen DAP dan Pakatan Harapan'.

Menyokong kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Wan Saiful berkata perpecahan undi Melayu akan menyebabkan ketidakstabilan politik yang berlarutan dan sekali gus menyumbang kesusahan kepada rakyat.

“Dalam keadaan kita tahu bahawa DAP dan PH memang mahukan undi Melayu terpecah untuk mereka kembali berkuasa, sudah pasti seruan untuk menjaga muafakat politik ini mesti dipandang serius oleh semua yang ikhlas.

“Bagi saya, sesiapa sahaja yang sengaja mahu kita berpecah dan mahu kita lemah, maka mereka adalah ejen DAP dan PH.

“DAP dan PH memang mahukan penjajaran baru yang melemahkan kita. Agen-agen mereka mungkin datang dalam pelbagai bentuk,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, Tuan Ibrahim berkata PAS ingin melihat muafakat politik yang termeterai di bawah PN antara Bersatu, PAS dan Umno diteruskan sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), demi masa depan negara.

Dia turut menasihati pemimpin dari ketiga-tiga parti itu untuk terus mendukung kerajaan sedia ada sekali gus memberi fokus kepada isu rakyat yang menanggung beban berikutan pandemik Covid-19 dan kurangkan politik dalaman yang mengganggu tumpuan.

Melihat hubungan parti dalam PN seperti satu keluarga, Wan Saiful berkata pemimpin parti dalam gabungan tersebut tidak wajar dengan sengaja mengeluarkan pandangan yang mengguris ahli keluarga.

“Kita mesti sentiasa menjaga semangat kekeluargaan, bukan kerap kali berusaha meruntuhkan kesatuan yang ada untuk agenda peribadi.

“Dalam suasana negara yang sukar sekarang ini, rakyat mahu kita fokus kepada kebajikan dan pembinaan ekonomi.

“Perkara yang mengusutkan suasana seharusnya simpanlah dulu. Jangan jadi agen merosakkan kestabilan politik negara,” katanya. 

Lihat Komen
ADS