Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siti Hasmah jelaskan sebab dia terima vaksin fasa pertama
Diterbitkan:  Mar 9, 2021 2:36 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Isteri bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Siti Hasmah Mohammad Ali menjelaskan sebab dia menerima vaksin Covid-19 pada fasa pertama.

Menurut Siti Hasmah, dia merupakan warga emas dan ingin mengalakkan masyarakat melakukan perkara yang sama.

Siti Hasmah berkata demikian selepas dia bersama suaminya yang juga anggota parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Ahad lalu.

Kedua-duanya menerima suntikan dos pertama vaksin di Kompleks Sukan Langkawi yang dijadikan sebagai pusat penerimaan vaksin (PPV).

“Saya datang ke Pulau Langkawi ini untuk teman suami saya. Suami saya sebagai ahli parlimen lebih berhak mendapat vaksin.

“Yang saya ini sebagai warga emas. Saya bukan datang sini dapatkan vaksin kerana saya isteri anggota parlimen tetapi saya sebagai seorang warga emas yang menjadi perangsang supaya ramai rakyat Langkawi mengambil vaksin,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Youtube.

Kerajaan kini sedang melaksanakan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Berdasarkan garis panduan jawatankuasa khas pembekalan vaksin Covid-19, penerima fasa pertama merupakan petugas barisan hadapan, pegawai penguatkuasa, guru yang berisiko tinggi serta wakil rakyat.

Fasa 2 pula bermula dari April hingga Ogos membabitkan 9.4 juta golongan berisiko tinggi seperti warga emas, orang kurang upaya dan individu mempunyai masalah komorbiditi serius.

Kerajaan dijangka menyelesaikan pemberian vaksin bagi kumpulan itu pada Ogos.

Fasa 3 pula bermula dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Mengulas lanjut, Siti Hasmah turut mengambil maklum akan keraguan rakyat berhubung vaksin Covid-19.

Jelasnya, meskipun ada orang awam masih was-was, mereka harus mendaftar pengambilan vaksin terlebih dahulu.

“Saya faham ada masih was-was dan curiga dengan kesan sampingan.

“Tak mengapa. Jika mereka nak terima kemudian tetapi daftar dahulu. Mungkin lepas tengok saya kali kedua terima vaksin masih sihat walafiat dan ada yang nak tukar pemikiran akan senang kerana sudah daftar,” jelasnya.

Menceritakan pengalaman menyuntik vaksin Covid-19, Siti Hasmah berkata, tiada kesan sampingan yang dialaminya.

“Tiada apa, ada yang kata sakit lah, jarum panjang itu ini, tetapi tiada apa (kesan sampingan) dia sakit sikit je, macam kena gigit semut,” tambahnya.

 

Lihat Komen
ADS