Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nurul di Ampang, Husam di Gombak: Tiada ketetapan, kata sumber PKR

Spekulasi di media sosial tular mendakwa bahawa Nurul Izzah Anwar akan bertanding di Parlimen Ampang, sementara Husam Musa pula akan diturunkan di kawasan Gombak mewakili PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun, satu sumber pucuk pimpinan parti itu berkata bahawa belum ada ketetapan yang telah dibuat sehingga kini berhubung spekulasi tersebut.

"Tiada ketetapan setakat ini," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Dia diminta mengulas berhubung spekulasi di media sosial yang mendakwa bahawa Nurul Izzah yang juga ahli parlimen Permatang Pauh akan bertanding di Ampang, sementara, bekas naib presiden Amanah, Husam Musa akan bertanding di Gombak di bawah tiket PKR.

Ini selepas, Presiden PKR Anwar Ibrahim semalam berkata bahawa Pakatan Harapan telah memulakan proses rundingan kerusi bagi menghadapi PRU akan datang.

Untuk rekod, kerusi parlimen Gombak dimenangi oleh bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, manakala bekas naib presidennya, Zuraida Kamaruddin mempertahankan kerusi Ampang, sejak tahun 2008.

Kedua-dua mereka berpaling tadah bersama sembilan ahli parlimen PKR yang lain dengan menyertai Bersatu susulan 'Langkah Sheraton' menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, tahun lalu.

Selain di Ampang, Nurul Izzah turut dikhabarkan akan bertanding di DUN Bukit Antarabangsa yang disandang oleh Azmin.

"Nurul Izzah di DUN sebagai 'pengganti' MB Selangor jika beliau tidak boleh dilantik sebagai menteri jika Anwar jadi PM supaya tiada berlaku kronisme," tular mesej tersebut.

"Kalau benar maknanya Ampang dan Gombak akan jadi parlimen tumpuan," kata mesej tersebut yang turut dilihat oleh Malaysiakini.

Antara lain, nama Dr Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai akan berpindah ke Permatang Pauh untuk menjaga legasi Anwar. Manakala, Anwar dikatakan akan kekal di Port Dickson.

Sementara, bekas naib presiden Rafizi Ramli akan menggantikan Wan Azizah di Pandan.

Rafizi Ramli adalah bekas ahli parlimen Pandan bagi penggal 2013 hingga 2018 sebelum hilang kelayakan bertanding pada PRU14.

Lihat Komen
ADS