Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Abduh: PAS tak bermulut murai, PH bermulut tempayan
Diterbitkan:  Mar 10, 2021 11:38 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

PAS tidak berdendam dan tidak juga bermulut murai semasa "membina negara" manakala Pakatan Harapan (PH) didakwa seorang ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) sebagai bermulut tempayan, tergopoh-gapah serta tuding-menuding.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata dalam keadaan begitulah partinya memahamkan rakyat Malaysia serta orang Islam mengenai siasah syariyah dengan berasaskan agama.

Membuat kenyataan umum melalui media sosial pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar) itu berkata PAS bersikap terbuka untuk dinilai oleh orang ramai selepas menjadi kerajaan.

"Nak ukur selepas setahun (menjadi kerajaan)? Ya, amat dipersilakan," katanya melalui kenyataan berbentuk soal jawab itu.

Nik Abduh menjawab 'soalan' mengenai apa yang sudah dilakukan PAS dan kegagalan parti itu melaksanakan apa yang dijanjikan mereka sewaktu menjadi pembangkang.

Untuk rekod PAS meletakkan lebih 100 calon di kerusi parlimen seluruh negara pada PRU ke-14 lalu namun hanya memenangi 18 daripadanya. Walaupun tanpa mandat daripada pengundi PAS membentuk kerajaan pusat selepas bekerjasama dengan Bersatu serta beberapa parti lain.

Mereka kemudian membentuk PN dan pada masa sama kekal bekerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional.

Menjelang PRU 2018 itu PAS dan Gagasan Sejahtera mengeluarkan manifesto sendiri untuk ditawarkan kepada rakyat. Misalnya menawarkan pelupusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan menstrukturkan semula kadar bayaran tol.

Turut ditawarkan ialah pengurangan harga rumah mampu milik antara RM50,000 hingga RM180,000 dan mengembalikan sistem kuota di universiti awam.

Tak menari ikut rentak musuh

Untuk golongan muda pula PAS menawarkan skim pembelian kereta pertama melalui pinjaman tanpa faedah.

PAS juga gigih mendesak agar Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dipinda untuk meningkatkan kadar hukuman. Pada 18 Feb 2017 PAS mengadakan perhimpunan di Padang Merbok untuk menuntut akta berkenaan - juga dikenali sebagai Akta 355 - dipinda.

Walaupun ketika itu menjadi pembangkang perhimpunan tersebut turut dihadiri pemimpin Umno yang menjadi kerajaan serta Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad.

Selepas PN terbentuk Zulkifli kemudian dilantik menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal Islam.

Kata Nik Abduh PAS sudah mengotakan sebahagian daripada janji mereka dan pada masa sama ada banyak lagi yang sedang dan akan terus diusahakan.

"Karakter PAS dalam politik adalah berhikmah dan bersederhana. PAS memimpin kepada perubahan dan islah tanpa berdendam dan tanpa bermulut murai. Begitulah membina negara," katanya.

Nik Abduh juga berkata antara kekuatan PAS ialah parti itu tidak menari mengikut rentak musuh dan ia didakwanya sebagai sangat menyakitkan mereka.

Rakyat juga kata ahli parlimen Bachok itu menilai PH yang menjadi kerajaan selama 22 bulan.

"[...] telah diukur oleh rakyat selepas (hampir) dua tahun pentadbiran kerajaan PH bahawa faktor kegagalan mereka adalah kerana gopoh-gapah, tuding menuding dan mulut tempayan," katanya.

Lihat Komen
ADS