Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beranikah SPRM siasat Muhyiddin, soal Guan Eng
Diterbitkan:  Mar 10, 2021 1:07 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan kemampuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuktikan ia merupakan agensi bebas, berkecuali dan profesional dengan menyiasat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Lim berkata demikian susulan pendedahan Anggota Parlimen Tebrau Steven Choong- yang berpaling tadah dari PKR- mendakwa Muhyiddin menjanjikannya satu jawatan rasmi jika mengalih sokongan.

Kata Lim SPRM sekurang-kurangnya perlu menyatakan secara terbuka bahawa usaha melompat parti kerana wang atau melalui pertukaran habuan adalah salah di sisi undang-undang dan merupakan amalan rasuah.

“Ironinya, perdana menteri telah menjadikan pencegahan rasuah sebagai salah satu komitmen utamanya dalam kerajaan.

“Namun hakikat sebenar tidak menyebelahi retorika Muhyiddin,” jelasnya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Choong mendedahkan Muhyiddin menjanjikan jawatan rasmi yang akan diberikan kepadanya bagi membangunkan semula ekonomi negara yang terkesan akibat wabak Covid-19. 

Untuk rekod, pada 28 Feb lalu Choong bersama Ahli Parlimen Julau Larry Sng meninggalkan PKR untuk menjadi ahli parlimen bebas yang menyokong Muhyiddin.

Ia berlaku ketika jumlah sokongan ahli parlimen kepada Muhyiddin menyusut selepas beberapa wakil rakyat Umno bertindak sedemikian baru-baru ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pula berpendapat sidang parlimen - yang dituntut pelbagai pihak termasuk Umno - boleh diadakan walau negara masih dalam keadaan darurat.

Menurut Choong dan Sng kepentingan kawasan pilihan raya mereka adalah "pemangkin" di sebalik keputusan berkenaan. Namun Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa tindakan tersebut disebabkan oleh paksaan dan tekanan kerajaan pusat.

Dengan sokongan Choong dan Sng PN memperoleh kembali majoriti mudah di Dewan Rakyat dengan 111 anggota parlimen.

Mengulas lanjut, Lim merujuk laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2020 yang mendedahkan kedudukan Malaysia semakin merosot.

Jelas ahli parlimen Bagan itu, kekurangan pengawasan terhadap tender terbuka, pelantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan, penarikan pertuduhan adalah antara punca utama kemerosotan kedudukan tersebut.

“Dengan SPRM yang dilihat sebagai memandang enteng kemerosotan kedudukan Malaysia dalam CPI Transparency International, tidak mengejutkan jika kedudukan Malaysia dalam indeks tersebut akan merudum lagi pada tahun ini,” jelasnya. 

Lihat Komen
ADS