Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM janji saya jawatan bantu pulihkan ekonomi negara - Choong
Diterbitkan:  Mar 9, 2021 4:02 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Steven Choong, yang berpaling tadah dari PKR untuk menyokong pentadbiran Perikatan Nasional, mendedahkan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjanjikannya jawatan rasmi.

Menurut anggota parlimen Tebrau itu, jawatan berkenaan akan memberinya landasan untuk membangun kembali ekonomi negara, yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Wakil rakyat Bebas itu mendedahkan bahawa dia berhubungan dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sejak tahun lalu.

Namun, baru bulan lalu Zuraida membawanya berjumpa Muhyiddin.

Choong berkata dia pada mulanya ragu-ragu untuk bertemu dengan perdana menteri dan menangguhkan perjumpaan itu selama dua minggu untuk membincangkan hal berkenaan dengan keluarganya.

“Saya bertemu PM pada Februari tahun ini.

"Kami berbincang selama kira-kira satu jam, dan Zuraida ada bersama," katanya dalam wawancara baru-baru ini dengan program ehwal semasa China FengRenGuan.

"Wabak ini telah men jejaskan banyak perniagaan, dan ini melibatkan pelbagai jabatan. Jika saya mempunyai kuasa, saya boleh mengarahkan semua kementerian duduk bersama dan membincangkan masalahnya,” katanya.

Pada pertemuannya dengan Muhyiddin, Choong berkata dia mengusulkan bagaimana membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang sedang bergelut dengan krisis ekonomi itu.

Lagipun, dia berkata, bahawa perdana menteri memaklumkan kepada dirinya bahawa pemeriksaan latar belakang menunjukkan bahawa dia adalah seorang ahli politik yang bersih.

Pada 28 Februari lau, Choong bersama ahli parlimen Julau Larry Sng keluar PKR untuk menyokong Muhyiddin sebagai ahli parlimen bebas.

Mereka menyebut kepentingan kawasan pilihan raya mereka sebagai pemangkin di sebalik keputusan berkenaan tetapi Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa bahawa tindakan tersebut disebabkan oleh paksaan dan tekanan dari kerajaan pusat.

Dengan sokongan kedua-dua mereka, PN memperoleh kembali majoriti mudah di Dewan Rakyat dengan 111 anggota Parlimen.

 Sementara itu, Choong juga mengulas secara terbuka penafian bahawa dirinya tidak akan menyokong Muhyiddin yang dibuatnya dua hari sebelum berpaling tadah.

“Ketika itu, saya benar-benar ingin mengakuinya. Tetapi saya tidak dapat melakukannya kerana saya baru berjumpa PM beberapa hari sebelumnya dan PM membuat janji lisan bahawa saya akan diberi jawatan. Tidak ada keputusan mengenai jawatan apa,” katanya.

Choong bahkan merujuk kepada Zuraida jika dia boleh membuat pengumuman mengenai hal itu tetapi diberitahu untuk tidak berbuat demikian kerana belum ada keputusan muktamad mengenai kedudukannya.

"Dia kata permintaan saya itu istimewa. Saya tidak mahu jadi menteri, saya juga tidak mahu jadi timbalan menteri, saya juga tidak mahu menguruskan GLC. Saya hanya mahu menyelesaikan masalah (akibat Covid-19).

"Oleh itu, dia kata mereka memerlukan masa untuk membincangkan jawatannya. Jadi saya tidak dapat mengakuinya ketika itu kerana ini tidak menghormati PM, ” katanya.

Walaupun dia belum diberi jawatan khusus, Choong berkata dia telah menerima lampu hijau untuk memulakan tugasnya seperti mengumpulkan maklum balas dari PKS.

"Jika Muhyiddin tidak ikhlas, dia tidak akan mengizinkan saya melakukannya," katanya.

Dalam catatan yang sama, ahli parlimen Tebrau itu menafikan bahawa dia keluar dari PKR untuk menyokong PN kerana menerima dana.

Dalam wawancara itu, Choong juga mendedahkan bahawa ketika spekulasi pembelotannya menjadi tular, Anwar berusaha memujuknya agar tidak meninggalkan PKR.

"Anwar telefon saya dan berkata, 'boleh beri saya sedikit masa? Saya akan jadi PM tidak lama lagi. Jangan menyesal selepas ini, beri saya sedikit masa lagi, ” katanya.

Bagaimanapun, Choong berkata bahawa dia tidak mempercayai Anwar kerana pemimpin pembangkang itu kekurangan sokongan untuk menjadi perdana menteri.

Choong juga berkata, bahawa nuraninya jelas kerana keputusannya tidak membawa kepada kejatuhan mana-mana kerajaan.

Mengenai rancangan masa depannya, ahli parlimen itu berkata, bahawa dia ingin mempertahankan kerusinya tetapi masih terlalu awal untuk menyatakan jika PN akan mencalonkannya.

Pada pilihan raya umum lalu, Choong mengalahkan Hou Kok Chung dari MCA dan Abdullah Hussin dari PAS dengan majoriti 37,225 undi. Ini adalah kali pertama PKR memenangi kerusi Tebrau.

 

Lihat Komen
ADS