Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat berhubung projek pembinaan jalan raya yang tidak wujud, empat tahun lalu.

Bagaimanapun Syed Ahamed Malik Syed Hamid, 68, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sabariah Othman.

Syed Ahamed didakwa menipu Md Jailam Jeganathan Abdullah, 65, dengan memperdayakannya dalam urusan mendapatkan projek yang tidak wujud iaitu Projek Pembinaan Jalan Raya ‘Road Surfacing Project’ daripada tertuduh.

Perbuatan itu telah dengan curangnya mendorong Md Jailam untuk menyerahkan wang secara tunai berjumlah RM250,000 kepada tertuduh yang mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta Masjid Negara, Jalan Perdana di Kuala Lumpur pada Mac 2017 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharin manakala peguam Amir Farid Mohd Nawawi mewakili Syed Ahamed.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 April depan untuk sebutan semula kes.

Bernama

Lihat Komen
ADS