Chan: Tiada diskaun untuk lima kesalahan trafik
Kompaun lima kesalahan lalu lintas yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya, dikekalkan dan tidak boleh dikurangkan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy hari ini.
Kompaun lima kesalahan lalu lintas yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya, dikekalkan dan tidak boleh dikurangkan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy hari ini.
Beliau berkata lima kesalahan itu ialah memandu melebihi had laju, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat, menyalahguna lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar.
"Kerajaan bersetuju supaya kadar kompaun kelima-lima kesalahan trafik itu dikekalkan. Kita nak hantar mesej yang betul kepada pengguna jalan raya," katanya kepada para pemberita di pejabatnya di Putrajaya.
Bagi kesalahan-kesalahan lalu lintas lain, katanya polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengemukakan laporan penyeragaman kadar kompaun kepada kementerian itu dalam tempoh dua minggu, sebelum ia dikemukakan kepada kabinet untuk kelulusan.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat antara polis, JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri berhubung soal penyeragaman kadar kompaun ekoran arahan kabinet Rabu lepas.
Chan berkata orang ramai boleh menjangka pengurangan akan dibuat dalam kadar kompaun bagi kesalahan-kesalahan lalu lintas yang lain, apabila penyeragaman itu diputuskan kelak.
Ketika ini polis dan JPJ, masing-masing mengenakan kompaun maksimum sebanyak RM300 bagi lima kesalahan lalu lintas yang serius itu.
Tan Sri Musa Hassan, yang sebelum ini dinamakan sebagai Ketua Polis Negara yang baru, ketika ditemui oleh para pemberita selepas mesyuarat itu berkata penyeragaman kadar kompaun itu akan berasaskan kepada aspek kepentingan menjaga keselamatan jalan raya dan kepentingan pengguna mematuhi undang-undang jalan raya.
Langkah penyeragaman
Beliau berkata langkah penyeragaman itu tidak akan menjejaskan usaha polis mengutip saman trafik kerana peraturan sedia ada memberi tempoh mencukupi kepada pesalah menjelaskan saman mereka sebelum waran tangkap dikeluarkan.
Ditanya mengapa polis tidak merujuk kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sebelum mengumumkan pengurangan dalam kadar kompaunnya minggu lepas, Musa berkata: "Hasratnya memang baik, tapi pelaksanaannya tidak betul".
Minggu lepas polis mengumumkan pengurangan kadar kompaun, ada antaranya sehingga 70 peratus, bagi mengurangkan beban orang ramai dan mengalakkan
mereka membayar kompaun. Bagaimanapun, pengurangan itu ditarik balik kemudiannya selepas kerajaan mahukan kadar kompaun antara polis dan JPJ diselaraskan.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Emran Kadir pula berkata penyeragaman kadar kompaun itu tidak akan melibatkan pindaan undang-undang kerana ia hanya melibatkan peraturan jabatan sahaja.

