Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu vaksin: KJ minta IGP tak hukum pemberi maklumat
Diterbitkan:  Mar 12, 2021 10:58 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan yang dia telah bercakap dengan Ketua Polis Negara. Abdul Hamid Bador mengenai isu pemberi maklumat yang mendedahkan kelemahan program vaksinasi Covid-19.

Menulis di Twitternya, Khairy mengulas laporan Bernama mengenai siasatan berhubung dakwaan bahawa 200 kakitangan setiausaha kerajaan negeri Kelantan cuba "memotong barisan" bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

"Saya belum mendedahkan identiti mana-mana pemberi maklumat yang telah menghantar e-mel kepada saya secara langsung. 

"Sebahagian maklumat ini telah digunakan untuk memperbetulkan senarai janji temu yang dibuat," kata Khairy, yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi.

"Setakat laporan polis berkenaan, proses sewajarnya harus diikuti tetapi saya telah meminta IGP untuk tidak menghukum pemberi maklumat," katanya.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat pada Selasa lalu memaklumkan polis akan merakam kenyataan seorang individu di Putrajaya, yang disyaki menyebarkan dakwaan itu.

Sebelum ini, pakar nefrologi Hospital Selayang, Dr Rafidah Abdullah melalui ciapan di Twitternya memaparkan tangkap layar mesej yang mendakwa bahawa jururawat dan petugas barisan hadapan yang disenaraikan sebagai penerima awal vaksin perlu memberi laluan kepada 200 kakitangan dari pejabat setiausaha kerajaan negeri Kelantan.

Exco kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin menafikan dakwaan itu dan menuntut Kementerian Kesihatan mengambil tindakan sekiranya ada pegawai yang menyebarkan dakwaan tersebut.

Meskipun menyangkal tuduhan itu, jabatan kesihatan negeri dan kerajaan Kelantan telah menyusun semula senarai individu yang akan menjadi penerima awal vaksin Covid-19 pada 2 Mac lalu.

Satu sumber yang mengetahui perkara itu memberitahu Malaysiakini senarai itu mungkin telah diubah setelah muncul tuduhan "memotong barisan".

'IGP pun pemberi maklumat'

Khairy, yang turut mempengerusikan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sebelum ini meminta pemberi maklumat untuk tampil.

Khairy berkata, Abdul Hamid juga memahami kepentingan untuk melindungi pemberi maklumat.

"IGP faham. Dia juga pemberi maklumat.

"Saya tidak mahu dilihat atau tidak boleh mengganggu kerja polis. Tapi kerana ini isu kepentingan awam, saya mesti menjelaskan bahawa saya telah bercakap dengan IGP mengenai perkara ini untuk melindungi pemberi maklumat," kata Khairy .

Pada tahun 2015, Hamid yang ketika itu merupakan timbalan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri tidak lama selepas sidang akhbarnya di mana dia mendedahkan terdapat usaha  menyembunyikan saksi utama dalam kes SRC International dengan bantuan beberapa individu yang berkuasa.

Khairy pada Isnin lalu berkata dia telah menerima lebih 200 aduan daripada pemberi maklumat berkaitan program vaksinasi Covid-19.

Lihat Komen
ADS