Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sukarelawan maut ditembak dalam perjalanan ke masjid di Pattani

GLOBAL | Seorang anggota sukarelawan maut ditembak ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat di Sai Buri, Pattani, selatan Thailand hari ini.

Ketua Polis Sai Buri, Kol. Pol. Chalermchai Phetchakat berkata lelaki berusia 29 tahun itu sedang menunggang motosikal berseorangan apabila dia ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki tidak dikenali yang juga menunggang motosikal.

“Sukarelawan itu meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan awal polis mendapati lelaki itu ditembak di bahagian dada dan kepala, dan polis sedang memburu suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, di Yala, polis berjaya mematikan dua butir bom yang dipasang dalam sebuah pikap yang diparkir di sebuah pangsapuri di daerah Raman, Yala pada kira-kira pukul 9.30 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Jurucakap polis wilayah Yala berkata terdahulu polis menerima laporan bahawa sebuah pikap telah dicuri sekumpulan lelaki, dan kira-kira tiga jam kemudian, polis menemui pikap itu diparkir di belakang pangsapuri yang merupakan kediaman polis.

“Ketika membuat pemeriksaan, polis menemui dua butir bom dipasang dalam pikap berkenaan, dan skuad pemusnah bom berjaya mematikan bom berkenaan selepas semua penduduk pangsapuri berkenaan diarah pindah sementara,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS